KAHERAH: Sekurang-kurangnya tiga maut dan 49 yang lain cedera selepas dua kereta api penumpang bertembung di bandar Zagazig, timur laut Kaherah semalam.
Kementerian Kesihatan Mesir berkata, lima daripada mangsa dilaporkan parah dan kini menerima rawatan di hospital Universiti Al-Ahrar dan Zagaziq.
Menurut pihak berkuasa kereta api, salah satu kereta api sedang menuju ke Ismailia dari Zagazig, sebelum berlanggar dengan kereta api lain yang dalam perjalanan dari bandar Mansoura ke Zagazig.
Mesir berusaha selama bertahun-tahun untuk membangunkan rangkaian pengangkutannya yang usang, dengan memodenkan kereta api dan laluannya.
Mesir merekodkan 2,044 kemalangan kereta api pada 2018 dan 1,793 pada tahun sebelumnya, menurut Agensi Pusat Mobilisasi Awam dan Statistik (CAPMAS).
Pada 2021, sekurang-kurangnya 32 maut dan 165 yang lain cedera apabila dua kereta api bertembung.
Pada 2019, sekurang-kurangnya 25 maut dan puluhan lagi cedera dalam kebakaran di stesen Ramses di tengah Kaherah, selepas kereta api berlanggar dengan platform menyebabkan tangki minyaknya meletup.
Pelanggaran antara dua kereta api di Alexendria, bandar kedua terbesar Mesir, pada Ogos 2017 menyebabkan lebih 40 maut dan ramai yang lain cedera.- CNN