TOKYO: Agensi Meteorologi Jepun (JMA) memberi amaran risiko tanah runtuh di pulau Amami di selatan Jepun, susulan taufan Bebinca menghampiri pesisir timur China.
JMA dalam kenyataan berkata, taufan Bebinca melalui pulau Amami Jepun membawa tiupan angin sehingga 198 kilometer sejam.
“Di rantau Amami, risiko tanah runtuh meningkat disebabkan oleh hujan lebat sehingga kini,” kata JMA.
Bebinca diramalkan mendarat berhampiran Shanghai pada awal Isnin dan dijangka beransur lemah sebagai ribut tropika, disertai hujan lebat serta ribut petir di beberapa kawasan selatan Jepun.
Ia mungkin menimbulkan risiko keselamatan awam di China ketika puluhan juta pelancong melakukan perjalanan ke seluruh negara sempena perayaan pertengahan musim luruh.
Kementerian Pengurusan Kecemasan China dalam kenyataan semalam berkata, taufan ini dijangka membawa hujan lebat ke pantai timur negara itu.
Agensi berita Xinhua melaporkan, operator kereta api China menjangkakan trafik penumpang mungkin mencecah 74 juta orang sempena perayaan tersebut.
Bebinca, yang disebut China sebagai Beibijia, berkemungkinan mendarat di antara kawasan pantai Taizhou di wilayah Zhejiang dan Qidong di wilayah Jiangsu.
Pentadbiran Meteorologi China mengeluarkan amaran tindak balas kecemasan kedua tertinggi.
Terminal kontenan Meishan di pelabuhan Ningbo-Zhoushan, Zhejiang menghentikan kebanyakan operasinya bermula jam 8 malam, semalam.
Sementara itu, pelabuhan Yangshan berhampiran Shanghai juga menghentikan perniagaan kontena mulai tengah malam Ahad.
Xinhua turut melaporkan, kawasan timur China memanggil semula kapal ke pelabuhan sebagai langkah keselamatan.- AFP










