PETALING JAYA: Tidak semua badan berkanun perlu disusun semula atau dihapuskan secara serentak kerana dikhuatiri boleh menjejaskan fungsi dan penyampaian perkhidmatan awam.
Pensyarah Kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd. Muis berkata, terdapat badan berkanun tertentu yang wajar dikekalkan kerana mempunyai kepentingan dan tidak boleh melalui perubahan drastik.
Bagaimanapun, beliau percaya Sekretariat Kajian Rasional Badan Berkanun Persekutuan yang baru ditubuhkan akan meneliti dan mengkaji secara terperinci perkara itu.
“Mungkin kerajaan perlu menyusun semula badan berkanun secara menyeluruh kerana ada yang masih perlu kekal seperti di Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
“MOSTI (Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi), Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga ada banyak badan berkanun dan berlaku pertindihan,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan kerajaan mengurangkan jumlah badan berkanun berkuat kuasa serta-merta bagi menangani isu pertindihan fungsi dan penjimatan dana negara dengan penubuhan Sekretariat Kajian Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan.
Katanya, langkah itu sebahagian daripada reformasi perkhidmatan awam dan badan berkanun termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
Katanya, jumlah badan berkanun terlalu banyak, malah bertindih dan menjadi punca berlaku perbelanjaan tidak terkawal.
Antaranya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), FGV Holdings Berhad, Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah, Lembaga Tabung Haji, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Koridor Wilayah Sabah, Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar serta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam). – UTUSAN











