Selain Brazil, lapan lagi negara turut haramkan X

Selain Brazil, lapan lagi negara turut haramkan X

APLIKASI X sebelum ini dikenali sebagai Twitter.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRASILIA: Brazil kini menjadi sebahagian daripada kumpulan kecil negara yang mengenakan larangan terhadap platform media sosial, X.

Selain daripada larangan kekal, beberapa negara ini melaksanakan sekatan akses sementara kepada platform milik jutawan terkenal, Elon Musk.

Ini kerana, pengkritik politik di negara-negara tersebut sering menggunakan platform media sosial ini untuk berkomunikasi.

Ini termasuk Mesir pada tahun 2011, Turkiye (2014 dan 2023) serta Uzbekistan sekitar pilihan raya presiden 2021 negara tersebut.

Selain Brazil, berikut adalah senarai lapan negara lain yang melarang platform X:

CHINA

China melarang Twitter pada Jun 2009. Larangan ini dikenakan dua hari sebelum ulang tahun ke-20 penindasan kerajaan terhadap demonstrasi prodemokrasi di Dataran Tiananmen.

Sejak itu, ramai rakyat China beralih kepada alternatif tempatan seperti Weibo dan WeChat.

IRAN

Twitter juga disekat oleh Teheran pada 2009, ketika gelombang demonstrasi tercetus berikutan pilihan raya presiden yang dipertikaikan pada Jun.

Bagaimanapun, rangkaian ini digunakan sejak itu untuk menyebarkan maklumat kepada dunia luar mengenai pergerakan pembangkang, termasuk tunjuk perasaan menentang penindasan hak wanita di Iran sejak akhir 2022.

TURKMENISTAN

Negara Asia Tengah yang terpencil, Turkmenistan menyekat Twitter pada awal 2010-an bersama banyak perkhidmatan dan laman web dalam talian asing lain.

Pihak berkuasa di Ashgabat memantau dengan teliti penggunaan internet rakyat, yang disediakan melalui pengendali monopoli milik negara, TurkmenTelecom.

KOREA UTARA

Pyongyang membuka akaun Twitternya sendiri pada 2010 dalam usaha menarik perhatian warga asing yang berminat dengan negara itu.

Bagaimanapun, aplikasi ini disekat bersama Facebook, YouTube dan laman web perjudian serta pornografi sejak April 2016, selain akses internet turut diperketatkan.

MYANMAR

X disekat sejak Februari 2021, apabila pihak berkuasa menyasarkan aplikasi itu untuk kegunaan penentang rampasan kuasa tentera yang menggulingkan kerajaan Aung San Suu Kyi.

Sejak itu, junta mengekalkan kawalan ketat terhadap akses internet di Myanmar.

RUSSIA

Akses kepada platform ini dihadkan pada 2021, selepas mengadu laman web itu membenarkan penyebaran kandungan haram.

Larangan rasmi dibuat pada Mac 2022, sejurus selepas Russia menyerang Ukraine. Ramai pengguna Russia mengakses X melalui perkhidmatan VPN, yang membolehkan mereka melepasi sekatan tersebut.

PAKISTAN

X dilarang sejak pilihan raya Parlimen pada Februari 2024. Kerajaan Pakistan, yang disokong tentera, berkata sekatan dilakukan atas faktor keselamatan.

Bekas Perdana Menteri, Imran Khan – yang kini dipenjara – menjadi sasaran tuduhan penipuan meluas yang disebarkan melalui platform tersebut terhadap parti pembangkangnya.

VENEZUELA

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro mengarahkan akses kepada X digantung selama 10 hari pada 9 Ogos 2024, semasa pasukan keselamatan secara ganas menghentikan tunjuk perasaan di seluruh negara.

Sekatan tersebut kekal walaupun tempoh 10 hari tamat.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×