KUALA LUMPUR: “Saya tidak ada sumbangan yang besar kepada negeri, negara.”
Demikian respons pelakon berpengalaman, Eman Manan, 66, mengenai pandangan ramai yang bersetuju sekiranya beliau diberikan gelaran Datuk.
Kata Eman atau nama sebenarnya Abdul Manan Embong, penganugerahan gelaran tersebut adalah rezeki yang telah ditentukan dan tidak wajar dipersoalkan mana-mana pihak.
“Penganugerahan gelaran Datuk adalah hak mutlak Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Jadi tak perlulah saya begitu dan begini mengenai perkara ini.
“Sumbangan saya pun tidaklah besar mana. Banyak lagi jasa yang perlu saya curahkan,” kongsinya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, timbul pertikaian dalam media sosial mengenai penganugerahan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk kepada pelakon Remy Ishak.
Ada dalam kalangan netizen yang beranggapan Remy belum layak berbanding beberapa pelakon lain yang lebih berpengalaman.
Sementara itu, Eman berkata dia bersyukur dengan penganugerahan yang diterimanya setakat ini.
Katanya, lebih menggembirakan apabila darjah kebesaran yang diterima diukur berdasarkan jasa yang disumbangkannya setakat ini.
“Saya pernah dianugerahkan darjah Ahli Mangku Negara dan Setia Mahkota Terengganu. Penerimaan ini sejajar dengan sumbangan saya kepada masyarakat.
“Saya bersyukur dengan penganugerahan yang saya terima setakat ini. Alhamdulillah,” ujarnya.










