Protes memuncak di Israel, tuntut gencatan senjata

Protes memuncak di Israel, tuntut gencatan senjata

PENUNJUK perasaan mengangkat bendera dan sepanduk semasa demonstrasi antikerajaan kelmarin, bagi mendesak pembebasan tebusan Israel di Gaza.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Ratusan ribu rakyat Israel turun ke jalan raya mengadakan tunjuk perasaan terhadap kegagalan kerajaan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu dalam menguruskan perang di Gaza.

Ini susulan penemuan enam mayat tebusan Israel di sebuah terowong bawah tanah di kawasan Rafah, Gaza hujung minggu lalu.

Dianggarkan seramai 100,000 rakyat Israel berdemonstrasi di Tel Aviv dan Baitulmuqaddis, bagi memberi tekanan kepada Netanyahu untuk segera mencapai perjanjian gencatan senjata untuk membawa pulang baki tebusan di Gaza.

Penunjuk perasaan juga bertindak menutup beberapa jalan di Baitulmuqaddis, Haifa, Ashdod, Ramat Negev, dan Kfar Tavor, lapor akhbar Israel, Yedioth Ahronoth.

Susulan perkembangan itu, mogok pertama turut diumumkan kesatuan buruh terbesar Israel semalam, yang dijangka menyebabkan sebahagian besar ekonomi negara tersebut terhenti.

Pejabat kerajaan dan majlis perbandaran ditutup, begitu juga sekolah dan banyak perniagaan swasta.

Lapangan terbang antarabangsa Israel, Ben Gurion juga dijadualkan tutup pada pukul 8 pagi (waktu tempatan) semalam, untuk tempoh yang tidak diketahui.

Gesaan mogok selama sehari oleh kesatuan Histadrut Israel, mewakili ratusan ribu pekerja, disokong oleh pengilang dan usahawan utama Israel dalam sektor teknologi tinggi.

Persatuan Pengilang Israel menyatakan sokongan terhadap mogok itu dan menuduh kerajaan Netanyahu gagal bertanggungjawab untuk membawa pulang tebusan dalam keadaan hidup.

Kira-kira 101 tebusan masih ditahan di Gaza, walaupun Israel percaya sebahagian mereka sudah meninggal dunia.

Netanyahu dan penyokongnya tetap menentang sebarang perjanjian tebusan yang akan membebaskan tahanan Palestin dari penjara Israel dan membantu mengekalkan kuasa pejuang Hamas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×