KLUANG: Bekas jurulatih bola sepak daerah Kluang, Mohamad Haizan Jaafar, 61, diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.
Pencalonan Mohamad Haizan yang juga Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kluang diumumkan oleh Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin di Bilik Gerakan Utama PN di Jalan Dahlia, Kampung Melayu di sini sebentar tadi.
Anak jati Kluang tersebut merupakan anak kelima daripada 12 adik beradik.
Beliau bergiat aktif dalam pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) termasuk menjadi Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kluang.
Mohamad Haizan bakal berdepan calon BN, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, pada PRK DUN Mahkota pada 28 September ini.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lalu. – UTUSAN










