Presiden baharu Sri Lanka angkat sumpah

Presiden baharu Sri Lanka angkat sumpah

ANURA KUMARA DISSANAYAKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

COLOMBO: Presiden baharu Sri Lanka, Anura Kumara Dissanayake mengangkat sumpah jawatan semalam, menjanjikan politik yang bersih ketika negara ini berusaha pulih dari krisis ekonomi terburuknya.

Sejurus acara angkat sumpah itu diadakan, beliau yang berfahaman Marxist berikrar untuk mendapatkan kembali kepercayaan rakyat yang muak dengan rasuah dan amalan kroni yang telah lama membelenggu negara.

“Kita perlu menubuhkan budaya politik bersih yang baharu. Kami akan berusaha sehabis mungkin untuk mendapatkan kembali penghormatan dan kepercayaan rakyat terhadap sistem politik,” katanya seperti laporan BBC.

Dissanayake, 55, diumumkan sebagai pemenang selepas pengiraan undi pusingan kedua kelmarin susulan tiada calon memperoleh lebih 50 peratus undi dalam kiraan kali pertama.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, beliau menang dengan 5,740,179 undi, sementara pemimpin pembangkang, Sajith Premadasa berada di tempat kedua dengan 4,530,902 undi dan Presiden, Ranil Wickremesinghe sekadar berada di kedudukan ketiga dengan 2,299,767 undi.

Acara angkat sumpah Dissanayake semalam turut dihadiri pemimpin-pemimpin agama Buddha, Islam, Hindu dan Kristian sekali gus memperlihat kesungguhan beliau menyatupadukan rakyat berbilang agama di Sri Lanka.

Beliau dalam pada itu berkata, demokrasi tidak berakhir dengan hanya mengundi pemimpin.

“Kita perlu mengukuhkan demokrasi. Saya berjanji akan berusaha sehabis mungkin untuk menjaga demokrasi.

“Saya pernah berkata bahawa saya bukan ahli sihir, tetapi hanya warganegara biasa. Ada perkara yang saya tahu dan tidak tahu. Matlamat saya adalah untuk mengumpul mereka yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran untuk membantu mengangkat negara ini,” ujarnya.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×