Perlis, Kelantan putuskan ajaran GISBH sesat

Perlis, Kelantan putuskan ajaran GISBH sesat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Jawatankuasa Fatwa Perlis memutuskan kepercayaan dan ajaran Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) mengandu­ngi unsur ajaran sesat khusus­nya batiniah.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin berkata, fatwa tersebut diputuskan setelah menerima bukti-bukti berkaitan organisasi berkenaan selain ia juga adalah kesinambungan ajaran Al-Arqam yang telah difatwakan sesat sebelum ini.

Menurutnya, antara perkara-perkara diputuskan adalah pegangan GISBH yang mengkultuskan pemimpin atau tokoh agama yang mereka percaya sehingga melampaui batas ke tahap seakan menyamakan kedudukan Nabi SAW atau mempunyai keajaiban atau mengetahui perkara ghaib seakan tuhan adalah fahaman bersifat bati­niah, menyeleweng serta sesat.

“Mengikut secara membuta tuli dan mematuhi arahan pe­mimpin atau golongan agama sekali pun bercanggah dengan ajaran Islam selain mengambil keberkatan secara melampau daripada sisa tubuh badan pemimpin mereka.

“Ia juga mengaitkan pe­mimpin mereka yang dikultuskan dengan unsur-unsur dapat menjustifikasikan tindakan-tin­dakan mereka yang salah de­ngan menggunakan nama Imam Mahdi, jelmaan Rasulullah, karamah wali, keberkatan dan seumpamanya.

“Selain itu, mempercayai pemimpin mereka yang sudah mati masih hidup dan masih dapat memberi panduan kepada mereka. Antara lain lagi mewujudkan hukum-hakam syarak yang baharu untuk menjustifikasikan aktiviti mereka yang bercanggah dengan syarak, hukum-hakam solat, pernikahan (munakahat) dan juga muamalat,” katanya di sini, semalam.

Semalam, polis menggempur organisasi GISBH dengan memberkas 24 pemimpin termasuk Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali bagi membantu siasatan berhubung dakwaan eksploitasi kanak-kanak.

Di Kota Bharu, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menegaskan fatwa ajaran Al-Arqam yang telah dikeluarkan sebelum ini sudah lengkap untuk dijadikan sebagai rujukan ke atas ajaran dan kepercayaan dalam GISBH yang mengandungi unsur sesat khususnya berkaitan fahaman batiniah.

Beliau berkata, tiada keperluan untuk mengeluarkan fatwa baharu kerana yang sedia ada sebelum ini sudah mencakupi seluruh perkara berkait ajaran tersebut.

“Kecuali kalau ajaran yang lain, baharu kita boleh keluarkan (fatwa) baharu,” katanya.

Di Seremban, Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr. Faudzinaim Badaruddin berkata, ketika ini pihaknya belum mendapat maklum­at atau laporan lengkap daripada polis.

“Hanya setelah ada perincian yang benar-benar konkrit, sahih dan bukti, Jabatan Mufti akan buat susulan untuk tindakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×