Perarakan hadiah hari lahir kanak-kanak lahir 31 Ogos

Perarakan hadiah hari lahir kanak-kanak lahir 31 Ogos

MUHAMAD Haziq Muhamad Hamka (kanan) bersama adiknya, Nuranis Aqilah berbusana tema Jalur Gemilang ketika menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Kedah di Dataran Medan Bandar, Alor Setar semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Seorang kanak-kanak yang lahir pada 31 Ogos, 10 tahun lalu teruja apabila dapat menyambut hari jadinya dengan menyaksikan perarakan Hari Kebangsaan ke-67 di Dataran Medan Bandar, di sini.

Muhamad Haziq Muhamad Hamka dari Padang Terap keluar rumah sejak pukul 6 pagi bersama ibu bapanya, Muhamad Hamka Ismail, 46, dan Siti Aishah Awang Kechik, 33, serta adiknya, Nuranis Aqilah semata-mata tidak mahu ketinggalan menyaksikan perarakan itu.

Lebih manis, Muhamad Hamka dan Siti Aishah turut mengenakan busana bertemakan Jalur Gemilang bagi menyemarakkan sambutan di samping 35,000 orang ramai yang membanjiri dataran itu.

Menurut Siti Aishah, anak sulungnya itu sudah lama berhasrat menyambut hari lahir dengan menyaksikan perarakan tersebut namun tidak kesampaian.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) suami cuti hujung ming­gu, jadi dia bawa kami semua ke sini. Dari dulu lagi Muhammad Haziq menyatakan hasrat untuk menyambut hari lahirnya de­ngan menyaksikan perarakan, namun abahnya bekerja.

“Mereka dua beradik ba­ngun seawal 5 pagi untuk bersiap dan kami solat Subuh di Masjid Zahir semata-mata tidak mahu terperangkap dalam kesesakan jalan raya,” katanya.
Menurut Siti Aishah, sikap patriotik Muhammad Haziq ke­tara sejak kecil lagi yang menyukai acara perarakan kebangsaan termasuk yang dianjurkan di sekolahnya.

Dalam pada itu, menurut seorang guru, Suraya Mansur, 54, dia tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan perarakan tersebut walaupun terpaksa berkerusi roda.

“Saya baru menjalani pembedahan tulang pinggul tetapi tetap tidak mahu ketinggalan datang ke sini seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Suami, Mazlan Samad, 54, dan anak, Ahmad, 15, sanggup bawa saya ke sini walaupun berkerusi roda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN