NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengundi mengenai resolusi Palestin yang menuntut Israel menamatkan ‘kehadiran yang menyalahi undang-undang’ di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki hampir setahun.
Resolusi itu diundi dalam perhimpunan melibatkan 193 anggota ketika perang Israel terhadap Hamas di Gaza menghampiri ulang tahun pertama serta keganasan di Tebing Barat mencapai tahap tertinggi.
Peperangan itu tercetus akibat serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober lalu.
Duta Palestin di PBB, Riyad Mansour membuka sesi mesyuarat perhimpunan yang bermula sejak Selasa lalu, dengan menegaskan rakyat Palestin menghadapi ‘ancaman sebenar dan Israel menahan mereka dalam belenggu’.
Beliau menuntut penaklukan Israel selama beberapa dekad dihentikan dan rakyat Palestin dapat pulang ke tanah air untuk hidup dengan aman dan bebas.
Resolusi itu adalah tindak balas terhadap keputusan Mahkamah Tertinggi PBB, Julai lalu, yang menyatakan kehadiran Israel di wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan mesti ditamatkan.
Dalam kecaman besar terhadap pemerintahan Israel ke atas tanah yang diteroka semasa Perang 1967, Mahkamah Keadilan Antarabangsa berkata, Israel tidak mempunyai hak untuk kedaulatan terhadap wilayah Palestin dan melanggar undang-undang antarabangsa terhadap pemerolehan tanah secara paksa.
Mansour menegaskan mana-mana negara yang menganggap rakyat Palestin ‘akan menerima kehidupan perhambaan’ atau mendakwa keamanan adalah mungkin tanpa penyelesaian yang adil kepada konflik Israel-Palestin adalah ‘tidak realistik’.
Resolusi itu menyeru agar Israel membayar ganti rugi kepada rakyat Palestin atas kerosakan yang disebabkan oleh pendudukannya dan menggesa negara-negara lain mengambil langkah untuk menghalang perdagangan atau pelaburan yang mengekalkan kehadiran Israel di wilayah itu.
Israel juga dituntut bertanggungjawab atas sebarang pelanggaran undang-undang antarabangsa dan negara-negara digesa menghentikan eksport senjata ke Israel.
Sementara itu, Duta Israel ke PBB, Danny Danon menggesa negara anggota untuk menolak resolusi itu dan menyifatkan ia sebagai ‘percubaan untuk memusnahkan Israel melalui keganasan diplomatik’ yang tidak pernah menyebut kekejaman Hamas dan ‘mengabaikan kebenaran, memutar belit fakta serta menggantikan realiti dengan fiksyen’. –AP










