PETALING JAYA: Malaysia berdepan kekangan tenaga buruh tempatan dalam industri perikanan dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang kerana hampir 52 peratus atau 58,531 nelayan kini berusia 50 tahun dan ke atas.
Berdasarkan data Jabatan Perikanan, jumlah nelayan di seluruh negara yang masih aktif menjalankan aktiviti menangkap ikan adalah sebanyak 112,344 orang.
Bagaimanapun, golongan nelayan berusia 50 tahun dan ke atas akan keluar dari sektor itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun lagi manakala golongan muda kurang minat menjadi nelayan.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, sektor perikanan Malaysia kini dimonopoli golongan yang bakal meninggalkan bidang itu atas faktor usia.

Justeru, kata beliau, penglibatan golongan belia sebagai nelayan moden sangat penting kepada sektor perikanan negara bagi memastikan kelestarian sekuriti makanan di Malaysia terjaga.
“Kita tidak mahu suatu hari nanti sektor perikanan negara dimonopoli oleh warga asing.
“Di peringkat LKIM, kita mempunyai Kumpulan Belia Nelayan (KUBENA). KUBENA merupakan satu pertubuhan belia tidak rasmi yang bergerak di bawah penyeliaan Persatuan Nelayan.
“Keahlian KUBENA adalah terdiri daripada yang berumur antara 18 hingga 40 tahun. Anak-anak ahli Persatuan Nelayan yang berumur 15 hingga 40 tahun.
“Jumlah ahli KUBENA di seluruh negara adalah seramai 177 orang melibatkan 10 Persatuan Nelayan Kawasan PNK di seluruh negara.
“Oleh kerana itu, LKIM menggalakkan anak-anak nelayan terlibat dalam KUBENA agar lebih ramai belia nelayan dapat dilahirkan dalam negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Muhammad Faiz berkata, terdapat beberapa sebab golongan muda tidak mahu jadi nelayan moden sehingga ia akan menjejaskan sektor nelayan yang memerlukan pelapis.
“Antaranya ialah persepsi negatif golongan belia terhadap pekerjaan nelayan sebagai pekerjaan 3D iaitu kotor, bahaya, dan sukar.
“Terdapat juga kekurangan pendedahan dan pendidikan mengenai teknologi moden dalam perikanan yang menyebabkan mereka menganggap ia satu pekerjaan tradisional.
“Namun, persaingan dengan sektor pekerjaan lain yang menawarkan pekerjaan lebih selesa juga antara faktor golongan belia tidak mahu melibatkan diri dalam nelayan,” katanya.
Mengulas perkara itu, pembabitan golongan belia dalam sektor perikanan ketika ini digalakkan bagi penggunaan teknologi moden yang menjadikan pekerjaan ini lebih efisien dan selamat.
“Ini adalah untuk memperlihatkan kepada umum bahawa nelayan kini telah bersedia untuk melakukan transformasi menerusi penggunaan teknologi yang lebih canggih dan mampu memberikan hasil yang lumayan.
“Secara tidak langsung, ini dapat menghakis tanggapan bahawa nelayan ini adalah pekerjaan yang kotor, bahaya dan sukar serta masih bergantung kepada alatan tradisonal,” katanya. – UTUSAN










