Mikroplastik ‘pembunuh senyap’

Mikroplastik ‘pembunuh senyap’

MIKROPLASTIK mempengaruhi kehidupan alam sekitar bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi keselamatan makanan dan menjejaskan ekosistem ikan di perairan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

DIANGGARKAN rakyat Malaysia ‘menelan’ 502.3 miligram (mg) mikroplastik sehari per kapita memandangkan lebih 50 peratus rakyatnya memakan ikan sekali gus menjadi antara penyumbang kepada kira-kira 48,639 kes baharu kanser setiap tahun.

Ini kerana mikroplastik mempengaruhi kehidupan alam sekitar bukan sahaja dari segi kesihatan tetapi keselamatan makanan dan menjejaskan ekosistem ikan di perairan.

Wartawan UTUSAN MALAYSIA, JUANI MUNIR ABU BAKAR dan FITRI NIZAM memperinci isu ini dalam laporan khas ‘mikroplastik pembunuh senyap manusia, hidupan marin’ termasuk kegagalan menangani masalah plastik sehingga Malaysia menjadi lokasi pelupusan sampah dunia.

Ancaman mikroplastik terhadap manusia su­dah tidak boleh dipandang mudah apabila perairan negara yang menjadi habitat sumber protein utama rakyat, iaitu ikan kini ‘dijajah’ benda asing tersebut dengan tidak terkawal.

Mana tidaknya, puluhan ka­jian diterbitkan sarjana dari da­lam dan luar negara sejak beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan laut dan sungai di Malaysia dicemari mikroplastik yang sukar dikesan menggunakan mata kasar.

Namun, sehingga hari ini belum ada tindakan drastik untuk menangani masalah tersebut.

Mikroplastik primer adalah partikel kecil plastik yang ber­ukuran kurang daripada 5 mili­meter (mm) sebelum terdedah kepada persekitaran seperti mik­rofiber daripada pakaian, mik­romanik (daripada skrub mandian) dan palet plastik.

Mikroplastik sekunder pula terhasil daripada proses pe­nguraian plastik yang lebih be­sar ketika berada dalam per­sekitaran. Ia terjadi akibat perubahan cuaca, impak bakteria dan organisma dalam persekitaran. Sumber utamanya terma­suk botol air, jaring ikan serta beg plastik.

Berdasarkan saiz fizikalnya yang terlalu kecil, mikroplastik mampu bergerak melepasi tapisan seperti loji rawatan sebelum mencemarkan sungai dan laut.

Bahkan, pada 2017, dianggarkan sebanyak 51 trilion partikel mikroplastik dilepaskan ke laut dan sungai di seluruh dunia.

Kajian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk ‘Potensi Bioremediasi Plastik Polietilena Tereftalat (PET)’ yang diterbitkan pada 2022, mendapati partikel mikroplastik yang terhasil bukan sahaja menyumbang kepada pencemaran alam sekitar bahkan mengancam hidupan akuatik serta keselamatan sumber makanan serta kesihatan manusia sejagat.

“Mikroplastik telah dilaporkan tersebar di persekitaran seperti di daratan (tanah di pusat pelupusan bahan buangan plastik) serta sungai dan laut melalui aliran langsung domestik atau industri.

“Antara impak negatif mikroplastik adalah ia boleh berfungsi sebagai ejen penyebaran atau vektor kepada pelbagai pencemar seperti logam berat, mikroorganisme patogen, serta bahan kimia berbahaya,” kata kajian itu.

Paling membimbangkan kajian Institut Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Pulau Pinang tahun ini mendapati, perairan laut Selat Melaka dikesan menunjukkan kehadiran mikroplastik pada tahap tinggi.

Pengarah Pusat Penyelidikan Pentaksiran Impak, Ku Kassim Ku Yaacob berkata, berdasarkan kajian dijalankan pihaknya, jenis mikroplastik yang ditemukan dalam sampel air terdapat kehadiran serpihan plastik dan serat tekstil.

“Penyebaran mikroplastik ini dipengaruhi faktor oseanografi seperti ombak dan angin yang menyumbang kepada pergerakan sisa plastik dari negara lain yang akhirnya terkumpul di Selat Melaka selain aktiviti perkapalan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

SUNGAI DI MALAYSIA TUNJUK KEPEKATAN MIKROPLASTIK TINGGI

Ku Kassim berkata, hasil kajian di beberapa muara sungai di Kedah, Perak, Pulau Pinang dan Terengganu turut menunjukkan keputusan sama iaitu kepekatan mikroplastik yang tinggi.

Antara sungai yang terbabit adalah Sungai Merbok (Kedah), Sungai Kurau (Perak), Sungai Terengganu (Terengganu), Sungai Pinang, Sungai Perai dan Sungai Nibong (Pulau Pinang).

“Beberapa sungai di kawasan berkepadatan penduduk tinggi merekodkan kepekatan mikroplastik yang lebih tinggi berbanding sungai lain.

“Punca utama pencemaran mikroplastik di kawasan yang dikaji adalah berkait rapat dengan aktiviti manusia seperti pembuangan sisa plastik tidak terurus, aktiviti perindustrian dan limpahan dari kawasan bandar.

“Semua sisa plastik yang tidak diurus dengan betul atau penggunaan bahan plastik tidak mesra alam akan berakhir di dalam aliran air longkang, sungai dan seterusnya ke laut,” katanya.

AMBIL SERIUS PENGURUSAN SISA PLASTIK

Bagaimanapun, beliau berkata, masih banyak sungai di Malaysia yang belum dikaji dan diketahui tahap pencemaran mikroplastik bagi memperoleh maklumat lengkap.

“Memahami punca-punca ini adalah langkah pertama yang kritikal dalam usaha mengurangkan pencemaran. Selain itu, harus diingat mikroplastik terjadi disebabkan fragmentasi plastik bersaiz besar yang mengecil dan memakan masa bertahun-tahun.

“Pengurusan sisa plastik perlu diambil secara serius oleh semua pihak terlibat supaya sisa yang dibuang kita pada hari ini tidak berakhir di dalam sumber makanan anak cucu kita nanti.

“Pada masa sama, penggunaan bahan berasaskan plastik perlu dikawal supaya tidak menjejaskan alam sekitar yang seterusnya menjejaskan sumber makanan manusia,” katanya.

MALAYSIA ANTARA TERTINGGI ‘MAKAN’ MIKROPLASTIK

Dalam pada itu, kajian IPP Batu Maung itu sejajar dengan jurnal diterbitkan Environmental Science and Technology oleh Universiti Teknologi Pertahanan China yang meletakkan Malaysia pada kedudukan ter­tinggi dalam kalangan 109 negara dalam ‘memakan’ mikroplastik.

Hasil kajian itu mendapati secara puratanya, rakyat Malaysia memakan 502.3 miligram (mg) mikroplastik sehari per kapita kerana lebih 50 peratus rakyat negara ini makan ikan.

Memetik kajian Pensyarah Fakulti Sains dan Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Dr. Yusof Shuaib Ibrahim pada 2021, beliau berkata, manusia menelan kira-kira lima gram mikroplastik dalam masa seminggu atau menyerupai sekeping kad kredit.

“Plastik yang dibuang oleh manusia hanyut ke lautan dan ia tidak terurai atau hilang begitu sahaja, malah proses tindak balas yang mengambil masa lama akan menghasilkan mikroplastik dan akhirnya dimakan oleh hidupan marin.

“Selalunya ia terperangkap dalam badan organisma terutaman di bahagian perut disebabkan dimakan oleh haiwan tersebut khususnya ikan dan hidupan bercangkerang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×