MELAKA: Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan meminta masyarakat tidak membangkitkan lagi isu pensijilan halal kerana boleh mencetuskan ketidakstabilan politik, keamanan dan kedamaian di negara ini.
Beliau berkata, masyarakat perlu berjiwa besar menghormati perbezaan pandangan kerana paling penting adalah adab ketika menyatakan pandangan masing-masing.
Tegasnya, pihaknya sedang menyediakan laporan terperinci berhubung isu pensijilan halal yang akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri minggu depan.
“Jadi kita sentiasa menguar-uarkan kepada semua, adab berbeza pandangan itu yang penting. Di peringkat Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) kita sentiasa tekankan adab berbeza pandangan.
“Kita boleh berbeza pandangan, namun begitu kita kena menghormati perbezaan itu, dalam erti kata lain apa yang kami hendak ajak seluruh rakyat Malaysia supaya kita berjiwa besar untuk terima kepelbagaian pandangan.
“Kita ada juga menerima banyak cadangan lain dan sesi libat urus bukan sahaja melibatkan orang politik malah industri halal, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan ia berlaku secara berterusan. Namun cadangan ini boleh kita pertimbangkan, namun kita lihat apa yang lebih bersesuaian daripada segi konteks dan sebagainya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pembukaan Perkhemah Perdana Pasukan Beruniform Briged Bakti Malaysia Melaka
di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Temu di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyediakan laporan lengkap cadangan mandatori pensijilan halal.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, laporan penuh mengenai cadangan itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet minggu depan.
Berhubung cadangan Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad agar wakil rakyat duduk semeja berbincang, Zulkifli berkata, ia sering dibincangkan dari semasa ke semasa dengan pelbagai pihak berkepentingan. – UTUSAN










