Malaysia mahu kuasa veto dimansuh

Malaysia mahu kuasa veto dimansuh

MOHAMAD Hasan ketika berucap dalam Perbahasan Umum Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79 di New York, Amerika Syarikat. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia de­ngan lantang menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya memansuhkan kuasa veto bagi memastikan tiada pihak menyalahgunakan mekanisme Majlis Keselamatan PBB (UNSC) untuk terus me­lakukan kekejaman di bumi Pa­lestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, banyak negara antarabangsa termasuk Malaysia memperjuangkan keadilan untuk penduduk di Gaza dengan menyatakan protes dan desakan mewujudkan gencatan senjata sejak hampir setahun lalu.

Namun, kata beliau, desakan dan usaha itu berdepan cabaran apabila suara-suara yang menuntut keadilan untuk Palestin di UNSC diketepikan melalui kuasa veto.

“Adalah jelas mekanisme UNSC disalahgunakan untuk membolehkan kekejaman besar-besaran dilakukan oleh pihak tidak bertanggungjawab di bumi Palestin. Kegagalan untuk mewujudkan gencatan senjata tidak lagi wajar, kita sudah kehabisan alasan.

“Sudah tiba masanya untuk masalah tersebut ditangani, kuasa veto tidak sepatutnya digunakan sesuka hati. Perlu ada pengecualian dalam kes jenayah kemanusiaan dan serangan terhadap infrastruktur awam,” katanya ketika berucap di New York, Amerika Syarikat.

Mohamad berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara pada Sabtu (Ahad di Malaysia) pada Perbahasan Umum Peringkat Tinggi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-79.

UNGA ke-79 menampilkan tema perbahasan ‘Tiada Seorang Pun Ditinggalkan: Bertindak Bersama untuk Kemajuan Keamanan, Pembangunan Mampan dan Maruah Manusia untuk Generasi Masa Kini dan Akan Datang’.

Perbahasan Umum Peringkat Tinggi yang berlangsung dari 24 hingga 30 September itu menyaksikan barisan pemimpin dunia menyampaikan pendirian negara masing-masing berhubung pelbagai isu global.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, semua pihak perlu komited melaksanakan reformasi dalam PBB.

Katanya, keadilan hanya akan bermula apabila impunitas berjaya ditamatkan dan memastikan akauntabiliti.

“Bagi merealisasikan perkara ini, kuasa veto yang tidak demokraktik mesti dihadkan atau dimansuhkan terus.

“UNSC yang boleh disifatkan seperti sudah lumpuh dan memalukan mesti diperbetulkan melalui pemerkasaan perhimpunan agung ini yang menyaksikan suara majoriti diutamakan bagi apa jua perkara atau isu yang dibangkitkan.

“Kita perlu fahami perkara ini, kesediaan untuk mereformasi adalah merupakan soal hidup dan mati, Di saat kita berucap terdapat kanak-kanak yang mati akibat serangan peluru berpandu,” jelasnya.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Israel sudah melanggar setiap undang-undang antarabangsa yang ada termasuk Konvensyen Genosid, Konvensyen Geneva dan Perjanjian Hak Asasi Manusia Teras apabila negara haram itu terus menyerang serta menindas rakyat Palestin.

“Beberapa bulan yang lalu, dunia menyaksikan penghinaan dilakukan oleh Israel terhadap PBB di dalam dewan ini, Israel tanpa mempedulikan desakan dunia turut menghina piagam yang dipegang PBB selama ini.

“Tindakan Israel itu secara tidak langsung menimbulkan keraguan kita sama ada ia benar-benar percaya kepada sistem PBB atau sekadar menghargai keahliannya dalam organisasi ini.

Tambahnya, Israel sendiri sudah mengisytiharkan hasrat menghapuskan seluruh penduduk Palestin maka tanpa persoalan, mereka memang berniat melakukan pembunuhan beramai-ramai.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO itu turut menyatakan seruan Malaysia terhadap masyarakat antarabangsa bagi mewujudkan semula Jawatankuasa Khas PBB menentang aparteid.

Tegasnya, perkara itu perlu bagi memastikan tiada lagi hak Palestin dicabuli sewenang-wenangnya oleh Israel.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN