Malaysia bukan ‘tong sampah’ dunia

Malaysia bukan ‘tong sampah’ dunia

MALAYSIA menjadi tapak pelupusan plastik dari beberapa negara maju yang mana pada tahun lalu sahaja dianggarkan 552,000 tan sisa plastik dieksport untuk dilupuskan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Malaysia bukan ‘tong sampah’ dunia dengan membiarkan pihak lain mengambil kesempatan menghantar sisa buangan dan plastik ke negara ini. 

Salah satu daripada penyumbang terbesar ancaman mikro plastik adalah apabila Malaysia menjadi tapak pelupusan plastik dari beberapa negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Belanda, Jepun dan Australia yang mana pada tahun lalu sahaja dianggarkan 552,000 tan sisa plastik dieksport untuk dilupuskan. 

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dengan memperhalusi kemasukan import plastik ke negara ini. 

Menurutnya, kerajaan tidak mahu negara ini sebagai ‘tong sampah’ dunia apabila Malaysia seolah-olah menjadi bahan buangan elektronik dan sisa plastik.

“Ada negara tidak mahu, jadi hantar ke negara kita. Ini menjadi cabaran kita selepas China mengetatkan syarat kemasukan.

“Kalau (China) sekarang susah terima plastik, jadi masuk Malaysia, Indonesia dan Fi­lipina yang menjadi antara negara utama. Oleh demikian, kita sedang meningkatkan pe­nguatkuasaan termasuk de­ngan kastam untuk kita memastikan perkara ini dapat diatasi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, baru-baru ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Malaysia menjadi tapak pelupusan plastik dunia apabila sisa plastik dari Ke­satuan Eropah (EU) merupakan penyumbang terbesar kepada jumlah keseluruhan eksport bahan buangan tersebut apabila mencatatkan 360,000 tan pada 2020; 144,000 tan (2021); 192,000 tan (2022) dan 286,000 tan (2023).

Berdasarkan statistik di­kongsikan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Basel Action Network kepada Utusan Malaysia, dianggarkan 816,000 tan sisa plastik dieksport ke Malaysia pada 2020, namun jumlahnya menurun kepada 420,000 tan (2021) dan 408,000 tan (2022).

Nik Nazmi berkata, antara langkah untuk mengekang kemasukan plastik adalah membangkitkan suara Malaysia di peringkat antarabangsa agar negara ini tidak lagi menjadi tong sampah dunia.

Oleh itu, katanya, Malaysia bersama negara-negara jiran akan mengetengahkan isu berkenaan memandangkan Malaysia akan menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun depan.

“Selain pendekatan dasar menyeluruh seiring dengan kajian balik dasar plastik sedia ada, kita hendak jadikannya sebagai antara isu utama bagaimana kerjasama ASEAN menjadi relevan dalam hal ini.

“Maka kita perlu bersuara sebagai suara ASEAN, maka suara kita lebih kuat dan besar, jadi itu antara akan sela­raskan. Kebetulan negara kita akan menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025. Kita sudah mula, saya pun bangkitkan dengan sahabat negara ASEAN, tapi akan bagi tumpuan pada tahun depan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN