KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas yang ditemukan maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam paya di Kampung Beta Hulu, Nilam Puri, di sini merupakan orang kurang upaya (OKU) kategori lembam.
Ahli keluarganya yang enggan dikenali berkata, kehilangan Fakhrurazi Mamat, 65, disedari selepas dia tidak pulang ke rumah pada pukul 7 petang.
Menurutnya, sejurus menyedari kehilangan itu dia dan keluarga bersama penduduk kampung terus mencari mangsa.
“Setiap hari selepas waktu asar, abang akan keluar berjalan-jalan sekitar kawasan kampung. Aktiviti itu merupakan rutin harian arwah abang.
“Mungkin semalam dia terlupa jalan untuk pulang ke rumah. Sebelum ini dia pernah berdepan dengan situasi itu, namun penduduk kampung membantu dengan menghantarnya pulang,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Belukar, Beta Hulu di sini hari ini.
Menurut ahli keluarga itu, laporan kehilangan Fakhrurazi dibuat pada pukul 8 malam di Balai Polis Nilam Puri untuk tindakan lanjut.
Katanya, selepas itu gerakan mencari Fakhrurazi diteruskan dengan bantuan pihak polis dan bomba.
“Mayat abang ditemukan terapung dalam kawasan paya oleh penduduk kampung pada pagi tadi. Jarak rumah dengan lokasi kejadian hanya 400 meter.
“Abang merupakan anak sulung daripada tujuh beradik. Jenazahnya akan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Tok Jud di sini,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Mohd. Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan berkait penemuan mayat itu pada puku 9.49 pagi.
Katanya, mayat mangsa telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu untuk bedah
siasat.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR),” katanya.
Media sebelum ini melaporkan,
seorang lelaki warga emas yang hilang hampir 17 jam dijumpai maut selepas dipercayai tergelincir ke dalam paya di Kampung Beta, Hulu Nilam Puri, di sini hari ini.
Mangsa, Fakhrurazi Mamat, 65, dipercayai hilang tanpa khabar berita selepas keluar ke kebun berhampiran rumahnya kira-kira pukul 6.30 petang semalam.-UTUSAN