PETALING JAYA: Masih ada beberapa lagi individu termasuk pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) berada dalam radar siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk diambil tindakan.
Ini selepas tujuh lagi individu termasuk anak kepada Pengerusi yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISBH dan anak kepada bekas pemimpin Al-Arqam, Ashaari Mohammad ditahan awal pagi semalam.
Mereka berumur antara 32 hingga 35 tahun adalah anggota Remaja Pembela Ummah GISBH ditahan menerusi Op Global di empat lokasi berasingan di Temerloh, Pahang; Port Dickson, Negeri Sembilan dan Pengkalan Chepa, Kelantan.
Penahanan terbaharu itu menjadikan keseluruhan 31 individu ditahan termasuk CEO GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd. Ali.
Ia dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bermula pukul 11 malam hingga 4.07 pagi semalam bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007.
Ketujuh-tujuh suspek direman sehingga 26 September ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, beliau tidak boleh mendedahkan tindakan yang akan diambil secara terperinci kerana boleh menganggu siasatan.
Ini termasuk jumlah sebenar keseluruhan ahli GISBH yang ada di negara ini.
Menurutnya, setiap tindakan PDRM dilakukan secara berfasa termasuk penubuhan pasukan khas bersama agensi-agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM) bagi melihat sama ada terdapat aktiviti pengubahan wang haram membabitkan GISBH.
Razarudin memberitahu, pelbagai aset termasuk premis perniagaan yang mempunyai kaitan dengan GISBH bernilai jutaan ringgit dipercayai antara yang akan disiasat pihak berkuasa.
Beliau turut meminta mana-mana bekas pengikut GISBH atau orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti pengabaian, penganiayaan, penderaan dan salah laku seksual di rumah amal kendalian syarikat itu tampil menyalurkannya.
Pada 11 September lalu, polis menerusi Op Global menyerbu 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan serta berjaya menyelamatkan 402 kanak-kanak yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian serta penderaan. – UTUSAN










