NEW YORK: Pertubuhan hak sivil dan advokasi terbesar di Amerika mendedahkan peningkatan sentimen anti-Islam, anti-Arab dan anti-Palestin dalam masyarakat di New York, berikutan konflik di Gaza sejak Oktober tahun lalu.
Kajian mendedahkan hampir 60 peratus pelajar Islam di New York menjadi mangsa buli di sekolah oleh rakan sebaya mereka, terutama selepas serangan Israel terhadap Gaza.
Tinjauan ‘Feeling The Hate In Our Schools’ yang dijalankan oleh Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) di New York, mendedahkan 58.2 peratus melaporkan dibuli di sekolah kerana beragama Islam.
“Hampir separuh (44.7 peratus) pelajar yang berhijab melaporkan tudung mereka ditarik, selain kerap disentuh secara kasar,” menurut tinjauan.
Tinjauan turut mendedahkan 64 peratus pelajar menyaksikan seorang pelajar muslim di sekolah menjadi mangsa buli rakan lain.
Bahkan, hampir 65 peratus daripada pelajar melihat sekolah mereka membuat komen atau hantaran jelek mengenai Islam dan muslim di dalam talian.
Menurut kajian, 43.6 peratus pelajar merasakan tiada keperluan untuk mereka melaporkan kejadian buli itu kerana percaya ia tidak membawa sebarang perubahan.
Kebanyakan mereka juga tidak mahu melaporkan kejadian dibuli pelajar lain kepada pihak berkaitan di sekolah kerana status mereka sebagai muslim.
“Pada tahun 2023 sahaja, CAIR New York menerima 555 permintaan bantuan undang-undang, dengan 43 peratus dikaitkan secara langsung dengan solidariti Palestin.
“32 peratus pelajar melaporkan sekolah menutup mulut mereka apabila menyuarakan pendapat mengenai Palestin, manakala 10 peratus mengalami gangguan di dalam talian dan 9.5 peratus dipulaukan,” kata pertubuhan itu.
Laporan ini berdasarkan kajian terhadap 500 pelajar muslim, dengan 91.7 peratus daripadanya dari sekolah awam, dan selebihnya di sekolah swasta bukan Islam.- AGENSI










