Kemerdekaan Palestin penentu hubungan Arab Saudi-Israel

Kemerdekaan Palestin penentu hubungan Arab Saudi-Israel

PENUNJUK perasaan Palestin membakar potret Donald Trump semasa protes perjanjian normalisasi Israel dengan UAE dan Bahrain di Khan Younis, selatan Gaza pada 23 September 2020.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Genap empat tahun sejak bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta Menteri Luar Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) menandatangani Deklarasi Perjanjian Abraham.

Perjanjian yang digerakkan oleh pentadbiran Trump pada 15 September 2020, konon dilihat sebagai pencapaian besar dalam usaha damai Arab-Israel, menandakan perubahan signifikan terhadap hubungan diplomatik di Asia Barat.

Bahrain dan UAE mengiktiraf kedaulatan Israel dan bersetuju untuk menormalkan hubungan diplomatik, menjadikannya negara Arab pertama berbuat demikian sejak Mesir pada 1979 dan Jordan pada 1994.

Dalam deklarasi satu halaman yang ditandatangani keempat-empat pihak, mereka mengiktiraf kepentingan mengekalkan dan mengukuhkan keamanan di Asia Barat berdasarkan persefahaman serta kewujudan bersama.

Negara terbabit turut berikrar untuk berusaha menamatkan radikalisasi dan konflik serta memberikan masa depan yang lebih baik kepada semua kanak-kanak.

Sejak itu, buat pertama kalinya penerbangan terus ke Israel dari UAE dilaksanakan, termasuk pelbagai perdagangan dan perniagaan dimeterai.

Tidak lama kemudian, timbul spekulasi bahawa Arab Saudi akan segera mengikut jejak Bahrain dan UAE untuk menormalkan hubungan dengan Israel.

Dalam wawancara dengan Fox News yang disiarkan pada 20 September 2023, Putera Mahkota Mohammed bin Salman memberi bayangan pencapaian bersejarah seperti itu mungkin berlaku.

Mohammed berkata, Arab Saudi boleh bekerjasama dengan Israel, namun perjanjian demikian bergantung kepada hasil positif untuk rakyat Palestin.

Bagaimanapun, segala harapan untuk memeterai perjanjian itu dilihat musnah susulan konflik Hamas dan Israel yang berterusan di Gaza sejak 7 Oktober tahun lepas.

Perang panjang itu menyebabkan Perjanjian Abraham berisiko mengalami nasib yang sama seperti inisiatif damai lain sebelum ini sejak Persidangan Madrid 1991.

SYARAT UTAMA NORMALISASI

Bekas ketua perkhidmatan perisikan Arab Saudi, Putera Turki Al-Faisal baru-baru ini menegaskan, tiada normalisasi hubungan antara Arab Saudi dan Israel selagi negara Palestin yang merdeka tidak ditubuhkan.

Beliau berkata, Amerika Syarikat (AS) berminat untuk menyambung semula perbincangan antara Israel dan Arab Saudi untuk mengukuhkan keselamatan serantau dan menjalin hubungan ekonomi.

Bagaimanapun, bekas Duta Arab Saudi ke AS itu menegaskan, pendirian Riyadh masih teguh untuk memastikan kewujudan negara Palestin sebelum mengadakan perbincangan mengenai normalisasi hubungan Israel.

Putera Turki berkata, penubuhan negara Palestin bukan sahaja penting untuk hubungan Israel dan Arab Saudi, tetapi juga pada seluruh dunia Islam.

“Negara Palestin adalah syarat utama untuk Arab Saudi melakukan normalisasi dengan Israel, tetapi di pihak Israel, seluruh kerajaan mengatakan tiada negara Palestin,” katanya.

Bagi Arab Saudi, beliau berkata, Palestin yang merdeka perlu merangkumi sempadan 1967, termasuk Baitulmuqaddis Timur.

Katanya, Arab Saudi pernah memimpin usaha untuk mencapai penyelesaian damai kepada konflik tersebut, dengan merujuk Pelan Keamanan Raja Fahd 1981 dan Inisiatif Keamanan Arab 2002 yang dicadangkan oleh Raja Abdullah.

“Semasa perang Gaza, Riyadh memimpin dunia Islam bukan sahaja dengan mengadakan sidang kemuncak, tetapi melalui misi diplomatik untuk menamatkan pertempuran, yang diketuai Menteri Luar Arab Saudi.

“Kerajaan berada di barisan hadapan dalam mengutuk serangan Israel terhadap rakyat Palestin, bukan sahaja di Gaza bahkan juga Tebing Barat,” katanya.

Putera Turki mengkiritik AS dan negara Barat lain kerana tidak memberikan lebih banyak tekanan terhadap Israel untuk menamatkan perang.

“Misalnya tindakan United Kingdom baru-baru ini mula menggantung lesen eksport senjata tertentu ke Israel berikutan pemilihan kerajaan baharu pada Julai.

“Saya ingin melihat lebih banyak yang dilakukan oleh UK, sebagai contoh mengiktiraf negara Palestin kerana ia sudah lama tertangguh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN