PETALING JAYA: Isu melibatkan GISB Holdings Sdn.Bhd (GISB) sudah dibentangkan kepada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) serta pihak penguatkuasa namun masih lagi tiada tindakan yang diambil.
Menurut Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, isu GISB itu sudah mula dibangkitkan apabila terdapat pihak yang membuat kajian kes ini bertemu pihak bertanggungjawab, tetapi tiada satupun tindakan dilakukan.
Beliau yang dikenali sebagai Dr. Maza mendedahkan dirinya telah menghantar surat kepada pemimpin dipercayai GISB untuk adakan pertemuan.
Mohd. Asri juga memaklumkan bahawa pemimpin utama syarikat berkenaan bersetuju untuk hadir dalam pertemuan itu.
“Hari ini (semalam) kita hantar surat kepada pemimpin utama mereka untuk hadir ke Perlis pada 20 hari bulan.
“Saya akan panggil mereka, katanya mereka sudah bersetuju hadir,” katanya dalam hantaran di TikTok @promediatajdidofficial.











