‘Jangan lupakan mereka yang gugur akibat diserang komunis’

‘Jangan lupakan mereka yang gugur akibat diserang komunis’

ZULHAMIN Mohd. Rus bersama penduduk Shaffei Mohamad dan Salimin Salleh menunjukkan tugu pelancongan Kampung Endah yang menyimpan peristiwa hitam kekejaman komunis, dekat Morib di Kuala Langat, Selangor. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LANGAT: Berpuluh maut diserang komunis di tiga buah kampung di sini sekitar 1948 hingga 1950 selepas pengunduran tentera Jepun pada 1945.

Peristiwa berdarah itu kekal diingati penduduk Kampung Endah di sini dan kisah itu akan terus diceritakan supaya mereka yang terkorban kekal diingati.

Serangan tersebut merupakan asal usul kewujudan Kampung Endah yang menjadi lokasi pemindahan penduduk dari Kampung Delek, Kampung Darat Batu dan Kampung Kanchong Tengah.

Ia merupakan kampung yang diterokai pada awal abad ke-19 atas tanah berkeluasan dua hektar.

Namun, ahli-ahli Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) didakwa memerintah secara kejam dan menyerang orang kampung yang menyokong Jepun.

Menurut Ketua Kampung Endah, Zulhamin Mohd. Rus, penduduk Kampung Kanchong Darat antara paling teruk menjadi mangsa serangan komunis apabila puluhan mati atau dianggap hilang dalam peris­tiwa itu.

“Komunis serang kampung-kampung itu sebagai balas dendam kepada penduduk yang menyokong Jepun.

“Penduduk yang hilang dipercayai ditangkap dan tidak tahu dibawa ke mana, akhirnya dianggap meninggal dunia. Lebih menyedihkan, pemergian mereka tidak bertanda, tiada kubur,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Antara yang terkorban ketika itu adalah Ketua Kampung Kanchong Tengah, Siraj Mustafa bersama empat penduduk ketika kekejaman komunis memuncak menyaksikan peristiwa pembunuhan Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur, Sir Henry Gurney pada Oktober 1951.

“Komunis merampas 24 laras senapang patah milik anggota Home Guard dan membunuh empat penduduk kerana enggan bekerjasama dengan mereka.

“Ketika itu Leftenan Jeneral Sir Harold Briggs dihantar ke Tanah Mela­yu sebagai pengarah operasi membanteras komunis. Beliau merancang pembentukan kampung baharu sebagai penempatan penduduk agar tidak diganggu komunis,” jelasnya.

Katanya, bagi menangani gangguan komunis, penduduk diarah berpindah di bawah rancangan penempatan semula Briggs.

“300 rumah kampung disusun semula termasuk Kampung Endah. Penempatan awal terdiri daripada 100 keluarga yang berpindah, mereka ditempatkan di kawasan seluas 24 hektar di Kampung Kanchong Laut dan ke Tanjong Sepat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×