Israel, Hamas digesa muktamadkan gencatan senjata

Israel, Hamas digesa muktamadkan gencatan senjata

ANTONY BLINKEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken menggesa Israel dan kumpulan pejuang Hamas untuk memuktamadkan gencatan senjata di Gaza.

Berdasarkan penilaian AS, beliau menegaskan, 90 peratus daripada perjanjian itu sudah siap.

Blinken berkata, Washington akan menawarkan cadangan lanjut melalui pengantara Mesir dan Qatar dalam beberapa hari akan datang, dengan harapan untuk memeterai perjanjian.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam temu bual dengan Fox News kelmarin, menafikan penilaian seorang pegawai AS berhubung 90 peratus perjanjian sudah siap dan menegaskan ia masih jauh.

Bagaimanapun, Blinken mengulangi penilaian tersebut dalam satu sidang akhbar semasa lawatannya ke Haiti, bahawa 90 peratus perjanjian sudah dipersetujui.

“Menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak untuk mencapai persetujuan mengenai isu-isu yang masih tertangguh.

“Walaupun saya percaya kita semakin hampir mencapai perjanjian gencatan senjata, setiap hari berlalu tanpa dimuktamadkan dan ia akan melambatkan proses serta berisiko menggagalkan usaha ini,” katanya.

Bagaimanapun, Blinken tidak menolak kemungkinan perjanjian itu dicapai sebelum Presiden Joe Biden mengakhiri tempoh pemerintahan pada bulan Januari.

“Saya rasa jika kita dapat mencapai gencatan senjata di Gaza, masih ada peluang sepanjang baki pentadbiran ini untuk meneruskan normalisasi (hubungan diplomatik dengan Arab Saudi),” katanya.

NETANYAHU SENGAJA LENGAHKAN

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu sengaja melengahkan usaha gencatan senjata apabila satu dokumen didedahkan menunjukkan beliau mengubah syarat perjanjian.

Akhbar Israel, Yedioth Ahronoth mendedahkan, pihaknya memperoleh satu dokumen menyatakan Neyantahu menuntut permintaan baharu, Julai lalu.

Ia sekali gus membatalkan draf perjanjian lama pada 27 Mei lalu.

Beberapa media termasuk CNN melaporkan mengenai tuntutan yang dibuat oleh Netanyahu pada akhir Julai, tetapi ini adalah kali pertama dokumen Israel diperoleh sepenuhnya.

Tuntutan baharu itu dikenali sebagai Rangka Kerja Netanyahu.

Menurut akhbar tersebut, antara tuntutan saat-saat akhir ialah Israel mengekalkan kawalan terhadap kawasan sempadan Mesir-Gaza, satu syarat yang digambarkan oleh Netanyahu sebagai tidak boleh dirunding.

Yedioth Ahronoth juga melaporkan, tiga daripada enam tebusan yang ditemukan mati di Gaza oleh tentera Israel pada hujung minggu lalu sepatutnya dibebaskan sebagai sebahagian daripada perjanjian bulan Mei lalu.

Pejabat Perdana Menteri Israel, bulan lalu mengesahkan kepada CNN tentang kewujudan dokumen tersebut tetapi menafikan tambahan syarat baharu kepada draf cadangan 27 Mei.

Laporan terbaharu itu juga mengiyakan dakwaan Hamas yang sebelum ini mendakwa Netanyahu sengaja melambat-lambatkan usaha gencatan senjata dengan menetapkan syarat dan tuntutan baharu.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×