Iran haram peranti komunikasi selepas letupan di Lubnan

Iran haram peranti komunikasi selepas letupan di Lubnan

GAMBAR dari video menunjukkan sebuah walkie-talkie yang meletup di dalam sebuah rumah di Baalbek, timur Lubnan pada 18 September lepas.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEHERAN: Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) mengarahkan semua anggotanya untuk berhenti menggunakan sebarang jenis peranti komunikasi selepas ribuan alat kelui dan walkie-talkie yang digunakan Hezbollah meletup dalam serangan serentak di seluruh Lubnan, minggu lalu.

Pegawai keselamatan berkata, operasi berskala besar sedang dijalankan oleh IRGC untuk memeriksa semua peranti, bukan hanya peralatan komunikasi.

Beliau berkata, kebanyakan peranti ini sama ada buatan sendiri atau diimport dari China dan Russia.

Iran bimbang tentang penyusupan oleh ejen Israel, termasuk warga Iran yang bekerja untuk Israel dan siasatan menyeluruh terhadap anggota dimulakan, menyasarkan ahli peringkat pertengahan serta tinggi IRGC.

“Ini termasuk pemeriksaan akaun bank mereka, sama ada di Iran mahupun di luar negara serta sejarah perjalanan mereka dan ahli keluarga,” kata pegawai itu.

Dalam serangan yang diselaraskan, alat kelui meletup pada Selasa lalu di kawasan kubu kuat Hezbollah.

Keesokan harinya, ratusan walkie-talkia Hezbollah turut meletup, mengorbankan 39 orang dan mencederakan lebih 3,000 yang lain.

Lubnan dan Hezbollah menuduh Israel bertanggungjawab terhadap serangan itu, namun ia tidak menafikan atau mengesahkan penglibatannya.

Pegawai keselamatan itu enggan memberikan butiran mengenai bagaimana pasukan IRGC, yang terdiri 190,000 anggota, berkomunikasi.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×