NEW DELHI: India melaporkan kematian kedua tahun ini akibat virus Nipah, melibatkan seorang pelajar berusia 24 tahun di negeri Kerala, selatan India.
Pegawai perubatan tempatan, R. Renuka berkata, seramai 151 individu dikenal pasti sebagai kontak rapat mangsa dan kini dalam pemantauan untuk mencegah penularan virus itu.
Beliau berkata, mangsa mula menunjukkan simptom demam pada 4 September dan meninggal dunia lima hari kemudian.
Ujian sampel darah mangsa yang dihantar ke Institut Virologi Negara di Pune mengesahkan jangkitan Nipah pada 9 September lalu.
Renuka berkata, sampel darah lima kontak rapat lain yang mengalami simptom utama jangkitan Nipah diambil dan dihantar untuk ujian.
Ini adalah kematian kedua akibat jangkitan Nipah di Malappuram tahun ini selepas seorang remaja lelaki berusia 14 tahun meninggal dunia pada Julai lepas.
Virus Nipah diklasifikasikan sebagai patogen keutamaan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) kerana berpotensi mencetuskan wabak.
Tiada vaksin untuk mencegah jangkitan dan tiada rawatan khusus untuk menyembuhkan virus itu.
Beberapa kawasan di Kerala dikenal pasti sebagai antara kawasan yang paling berisiko di dunia untuk wabak virus Nipah, menurut siasatan Reuters.
Virus Nipah, yang berasal daripada kelawar buah dan haiwan seperti babi, boleh menyebabkan demam berbahaya dengan pembengkakan otak pada manusia.- REUTERS










