GISBH: Polis jejak kutipan ‘mahar’ jutaan ringgit

GISBH: Polis jejak kutipan ‘mahar’ jutaan ringgit

Kanak-kanak GISBH
Pihak berkuasa menyita kawasan pusat perniagaan milik rangkaian GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) memasuki fasa baharu apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjejaki wang dikatakan ‘mahar’ didakwa jutaan ringgit sebulan, dikutip daripada setiap zon oleh syarikat tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, siasatan sedang dijalankan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pe­ngubahan Wang Haram (AMLA) bagi mengesan wang didakwa ‘mahar’ untuk diserahkan beberapa pemimpin GISBH.

Kata beliau, pihaknya mengesan pendedahan dibuat satu pihak di Facebook yang mendakwa GISBH membuat kutipan ‘mahar’ melalui setiap zon di seluruh dunia.

“Kita akan siasat (dakwaan) itu. Siasatan AMLA memang ke arah menjejak wang tersebut.

“Justeru, kita akan mendapatkan bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk meneliti akaun-akaun peribadi pemimpin tertinggi GISBH,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pusat Kajian Ajaran Sesat (PUKAS) Malaysia menerusi laman rasmi Facebooknya mendedahkan kutipan sumbangan bulanan yang diperolehi oleh GISBH melebihi RM 2.3 juta hanya melalui kutipan ‘mahar’ melalui 58 zon di seluruh dunia.

Dakwanya, duit berkenaan akan diuruskan oleh wakil-wakil setiap zon melalui akaun peribadi, wang tunai, emas, dan disalurkan kepada dua individu dipercayai pengutip dana GISBH.

PUKAS mendakwa, kutipan jutaan ringgit itu tidak akan melalui akaun-akaun syarikat GISBH sebelum ia (duit) akan diagihkan kepada 10 individu penting untuk ‘placement’ dan ‘layering’ sama ada melalui pembelian aset-aset di atas nama peribadi ahli-ahli.

“Duit masuk ke dalam syarikat peribadi yang telah diatur oleh mereka (bukan anak syarikat GISBH), emas dan wang yang disimpan secara tunai,” dakwanya.

RAZARUDIN HUSAIN

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya kini giat me­ngumpul bukti dan segala kete­rangan bagi membantu siasatan kes terbabit.

“Siasatan masih lagi berjalan. Kita (polis) kumpulkan segala keterangan yang menjurus kepada kesalahan dalam sesuatu undang-undang.

“Hasil siasatan itu akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk tindakan lanjut. Kita hanya menyiasat dan kuasa pertuduhan ditentukan AGC,” katanya.

Media kelmarin melaporkan, seorang bekas ‘jemaah’ yang mahu dikenali sebagai Azman, 41, mendedahkan syarikat ber­kenaan didakwa memperoleh pendapatan bulanan dianggarkan lebih RM2 juta setiap bulan hasil ‘bayaran mahar’ daripada zon yang dibahagikan.

Dia mendakwa, syarikat itu dibahagikan kepada 58 zon dan setiap zon diwajibkan memberi Pendapatan Kumpulan Harian (PKH) RM1,500 sehari.

“Untuk sebulan, kami perlu pastikan jumlah terkumpul adalah RM40,000 untuk setiap zon dan bagi 58 zon, sudah ada wang terkumpul kira-kira RM2.3 juta dan ini kami panggil sebagai mahar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×