PETALING JAYA: Generasi Z dan Milenial tidak teragak-agak ‘lompat kerja’ jika tempat lain boleh menawarkan persekitaran kerja yang lebih positif dan mempunyai peluang untuk mengembangkan kerjaya mereka.
Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd. Effendy Abdul Ghani berkata, isu pertukaran kerja yang kerap dalam kalangan generasi muda seperti Gen Z dan Milenial, termasuk faktor gaji dan beban kerja, semakin relevan di pasaran kerja Malaysia ketika ini.
Menurut beliau, terdapat beberapa faktor lain yang menyebabkan mereka kerap menukar pekerjaan dalam tempoh masa yang pendek.
“Gaji adalah satu faktor penting tetapi bukan faktor utama pekerja muda sering bertukar kerja. Faktor lain termasuk kurangnya peluang perkembangan kerjaya, ketiadaan keseimbangan kerja-hidup, tekanan di tempat kerja serta kurangnya penghargaan atau pengiktirafan.
“Banyak pekerja Gen Z dan Milenial mencari lebih daripada sekadar gaji kerana mereka mahukan persekitaran kerja yang positif dan peluang untuk berkembang dalam kerjaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, sehingga April 2024, jumlah penganggur dalam negara adalah sebanyak 566,100 orang. Jumlah berkenaan sekali gus mencatatkan kadar pengangguran dalam negara sebanyak 3.3 peratus.
Dalam kalangan penganggur aktif, mereka yang menganggur kurang daripada tiga bulan merangkumi 61.7 peratus, manakala mereka yang berada dalam pengangguran jangka panjang melebihi setahun sebanyak 6.7 peratus.
Mengulas lanjut, Mohd. Effendy berkata, gaji yang tidak setimpal dengan beban kerja juga menjadi faktor pekerja tidak setia dengan majikan.
“Di Malaysia, beberapa industri menghadapi cabaran dalam menetapkan gaji yang kompetitif, terutama dalam sektor yang menawarkan gaji minimum atau rendah.
“Ketidaksetaraan ini sering menyebabkan pekerja muda mencari peluang yang lebih baik di tempat lain, terutamanya jika mereka berasakan tidak ada peluang untuk kenaikan gaji atau pengiktirafan di organisasi sedia ada tempat mereka bekerja,” ujarnya.
Selain itu, katanya, terdapat juga majikan yang mengarahkan pekerja untuk melaksanakan pelbagai tugas di luar skop asal mereka tanpa bayaran tambahan atau ganjaran sewajarnya.
“Situasi ini meningkatkan risiko keletihan dan kurang produktiviti jangka panjang. Pekerja yang berasakan mereka dimanipulasi dengan cara ini lebih cenderung untuk berhenti kerja dan mencari majikan yang lebih menghargai kemahiran mereka dan menawarkan ganjaran setimpal, wajar serta adil,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, sokongan dan bimbingan yang baik mampu meningkatkan keupayaan Gen Z dan Milenial untuk kekal positif tanpa sebarang tekanan.
“MEF tidak melihat mereka sebagai malas ataupun manja. Sebaliknya kami berpendapat mereka memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan keperluan di tempat kerja.
“Ramai pekerja Gen Z baharu terpaksa melalui persekitaran profesional iaitu peralihan daripada pendidikan kepada persekitaran kerja berstruktur yang mencabar.
“Berbanding generasi dahulu yang terpaksa bekerja keras, Gen Z ini kebanyakannya mempunyai toleransi tekanan yang lebih rendah kerana didikan yang berbeza,” katanya. – UTUSAN










