EU umum bantuan kewangan RM589 juta kepada PA

EU umum bantuan kewangan RM589 juta kepada PA

EU menawarkan pakej bantuan dalam bentuk geran sebanyak RM185.37 juta untuk membayar gaji penjawat awam di Tebing Barat.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMALLAH: Pejabat Kesatuan Eropah (EU) di Palestin mengumumkan inisiatifnya untuk meneruskan pengagihan bantuan kewangan kecemasan jangka pendek sebanyak AS$136.2 juta (RM589.89 juta) kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).

Pejabat itu berkata, pakej bantuan itu termasuk AS$42.8 juta (RM185.37 juta) dalam bentuk geran untuk membayar gaji penjawat awam di Tebing Barat dan AS$93.4 juta (RM404.5 juta) dalam kemudahan kredit untuk Pihak Berkuasa Kewangan Palestin, yang disediakan oleh Bank Pelaburan Eropah.

Pembayaran ini menandakan ansuran kedua daripada pakej sokongan kewangan kecemasan EU sebanyak AS$444.6 juta (RM1.9 bilion) untuk Palestin, yang diumumkan pada Julai 2024.

PA bergelut dengan krisis kewangan yang belum pernah berlaku sebelum ini, sejak November 2021, memaksa mereka mengurangkan bayaran gaji pekeja sektor awam.

Krisis bertambah buruk akibat peperangan Israel yang berterusan di Gaza dan penahanan hasil cukai oleh pihak berkuasa pendudukan Israel.

Pejabat EU memaklumkan, pakej bantuan ini adalah sebahagian daripada strategi yang dipersetujui antara Kesatuan Eropah dan PA untuk menangani situasi belanjawan dan fiskal kritikal.

Pakej ini terdiri daripada gabungan geran dan pinjaman, yang akan disalurkan dalam tiga ansuran, dengan ansuran pertama sebanyak AS$166.7 juta (RM722 juta) dipindahkan pada Julai.– AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN