BAITULMUQADDIS: Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah menemukan mayat enam tebusannya yang ditahan oleh kumpulan pejuang Hamas di Genting Gaza.
Dalam satu kenyataan, IDF memaklumkan, mayat-mayat tersebut ditemukan kelmarin dalam sebuah terowong bawah tanah di kawasan Rafah, selatan Gaza.
Tebusan-tebusan itu dikenal pasti sebagai Carmel Gat, Eden Yerushalmi, Hersh Goldberg-Polin, Alexander Lobanov, Almog Sarusi dan Sarjan Utama Ori Danino.
Jurucakap tentera Israel, Laksamana Madya Daniel Hagari berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa dibunuh secara kejam oleh pejuang Hamas sebelum pihaknya sempat sampai ke lokasi tebusan ditahan.
Seorang pegawai kanan Hamas, Izzat al-Rishq menegaskan, Israel bertanggungjawab atas kematian mangsa kerana enggan menandatangani perjanjian gencatan senjata.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam reaksi balasnya berkata, Tel Aviv tidak akan berhenti sehingga mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan itu dibawa ke muka pengadilan.
Dalam satu kenyataan, beliau juga berkata Israel komited untuk mencapai perjanjian bagi membebaskan tebusan mereka yang masih dalam tahanan.
“Sesiapa yang membunuh tebusan, tidak mahukan perjanjian,” tambahnya. – AGENSI











