KABUL: Enam maut manakala 13 yang lain cedera selepas seorang pengebom bunuh diri meletupkan bahan letupan di ibu negara Afghanistan, semalam.
Tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan yang berlaku di kawasan Qala-e-Bakhtiar, selatan Kabul, petang semalam.
Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran berkata, seorang individu memakai bahan letupan pada badannya sebelum meletupkan diri, mengakibatkan seorang wanita turut maut.
“Mangsa cedera kini dirawat di hospital dan siasatan sedang dijalankan,” katanya dalam hantaran di platform X.
Keganasan di Afghanistan berkurangan sejak Taliban mengambil alih pemerintahan pada 2021, namun terdapat beberapa kumpulan militan yang masih aktif termasuk Daesh.
Pihak berkuasa Taliban mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaan mereka sejak kembali berkuasa, selepas pengunduran tentera asing tiga tahun lalu.
Kali terakhir serangan bunuh diri dilakukan ialah di bandar selatan Kandahar, antara kubu kuat Taliban, pada Mac lalu yang didakwa dilakukan oleh Daesh.
Pihak berkuasa mendakwa hanya tiga terbunuh, manakala sumber hospital meletakkan angka kematian jauh lebih tinggi iaitu 20 orang.
Jurucakap kerajaan, Zabihullah Mujahid memberitahu AFP pada bulan lalu bahawa kerajaan mengambil tindakan tegas dan proaktif untuk memerangi aktiviti keganasan di negara itu.- AGENSI











