Dakwa peminjam PTPTN culas bayar hutang

Dakwa peminjam PTPTN culas bayar hutang

RAMAI peminjam pendidikan PTPTN dikesan culas untuk membayar pinjaman mereka. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan perlu mengambil tindakan lebih tegas termasuk mengheret lebih 400,000 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang masih gagal membayar hutang ke mahkamah. 

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Tan Sri Ir. Dr. Sahol Hamid Abu Bakar berkata, tindakan keras itu perlu diambil terutama kepada peminjam berkemampuan, namun culas membayar balik. 

Menurutnya, beliau percaya pelbagai usaha sudah dilakukan termasuk memberi kesedaran agar peminjam membayar balik.

 “Jadi, bagi peminjam yang mampu, ada kerja dan ada kedudukan baik, kena bawa ke mahkamah. “Jika tidak, kerajaan tidak dapat tampung (perbelanjaan) pelajar lain masuk universiti,” katanya ketika dihubungi, semalam. 

Semalam, dilaporkan kira kira 430,000 peminjam PTPTN yang telah menamatkan pengajian dikesan tidak pernah membayar pinjaman mereka dengan jumlah terkumpul sehingga kini mencecah RM6 bilion. 

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dilaporkan mendedahkan ada dalam kalangan mereka yang telah menamatkan pengajian sejak berpuluh tahun lalu, tetapi tidak pernah membayar kembali pinjaman walau sesen pun dengan jumlah itu sentiasa meningkat setiap tahun. 

Sehubungan itu, tegas beliau, PTPTN akan membuat langkah susulan terhadap mereka dan tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang bersesuaian terhadap peminjam terlibat.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan Tinggi telah membuat perbincangan secara mendalam di peringkat kerajaan termasuk dalam mesyuarat Kabinet mengenai tindakan susulan tersebut dan akan diumumkan oleh pengurusan PTPTN nanti.

Dalam pada itu, Presiden Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, model pembiayaan melalui PTPTN secara umum­nya perlu dikaji semula secara menyeluruh.

Ujar beliau, ini kerana isu besarnya adalah soal kelestarian dan ia merupakan satu punca pembiayaan terbesar dalam negara. 

“Sifat PTPTN itu sendiri adalah dana yang dipusingkan melalui pembiayaan dan kutipan semula. 

“Tidak mungkin ia boleh bertahan kalau tidak ada ke­seimbangan antara pembia­yaan  yang semakin lama se­makin membesar dengan kutipan yang kelihatannya semakin mengecil oleh sebab tidak ada pembayaran yang mencukupi,” jelasnya. 

Pada masa sama, beliau memberitahu, negara juga perlu memikirkan model-model pembiayaan pendidikan tinggi yang lain dan tidak bergantung sepenuhnya kepada PTPTN. 

“Ini termasuk penyertaan bank-bank perdagangan, pihak industri dan juga tabung-tabung dana amanah lain yang mungkin boleh digemblengkan bagi kepentingan pendidikan tinggi negara,” katanya. 

Beliau menambah, kerajaan juga boleh mencari strategi untuk memperkenalkan pendidikan percuma di peringkat pendidikan tinggi. 

“Secara ironinya, harus ada mood (usaha) untuk memper­kenalkan pendidikan percuma dan sudah ada dimulakan oleh kerajaan negeri yang akan dilaksanakan kerajaan negeri Sarawak pada 2026. 

“Jadi, secara keseluruhannya di sebalik memikirkan bagaimana pembiayaan pendanaan pendidikan tinggi perlu dilestarikan, pemikiran juga perlu dihalakan kepada matlamat untuk merealisasikan hasrat memberi pendidikan percuma di peringkat pendidikan tinggi kepada rakyat. 

“Kebanyakan daripada negara-negara maju dalam dunia telah pun melaksanakan ini, tetapi dengan pertimbangan lain yang perlu disertakan termasuk mengkaji semula sistem percukaian dalam negara,” ujarnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN