COLOMBO: Pemimpin Sri Lanka berhaluan Marxist, Anura Kumara Dissanayake, mendahului kiraan undi hari ini dalam usahanya untuk menjadi Presiden negara ini.
Data Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka menunjukkan, Dissanayake memenangi kira-kira 54 peratus daripada sejuta undi yang dikira setakat ini.
Pemimpin pembangkang Sajith Premadasa berada di tempat kedua dengan 22 peratus, sementara Presiden, Ranil Wickremesinghe di tempat ketiga.
Dissanayaka, 55, bertanding sebagai calon gabungan Kuasa Rakyat Nasional yang turut disertai partinya Janatha Vimukthi Peramuna (JVP).
Dalam kempennya, beliau berikrar untuk merundingkan semula perjanjian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) selepas Wickremesinghe menggandakan cukai pendapatan, menghapuskan subsidi tenaga dan menaikkan harga.
Jika dipilih, Dissanayaka akan menjadi ketua negara berhaluan Marxist pertama Sri Lanka.
Walaupun parti JVP hanya mempunyai tiga kerusi di Parlimen, Dissanayake mendapat sokongan melalui janji-janji untuk melaksanakan langkah anti-rasuah yang ketat dan dasar yang lebih memihak kepada golongan miskin.
Beliau berjanji untuk membubarkan Parlimen dalam tempoh 45 hari selepas mengambil alih kuasa bagi mendapatkan mandat baharu untuk dasar-dasarnya dalam pilihan raya umum.– REUTERS










