JOHOR BAHRU: Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan, di sini tidak beroperasi semalam apabila pencemaran bau kimia yang kuat dikesan di kawasan tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, langkah itu diambil setelah mendapat nasihat daripada pasukan siasatan Jabatan Alam Sekitar dan bomba yang menjalankan pemeriksaan di kampung itu bagi membendung masalah lebih serius.
“Saya sudah berbincang dengan wakil penduduk di kawasan ini dan menasihati supaya sekolah agama di sini ditutup. Ini kerana kita belum kenal pasti lagi bahan apa yang menyebabkan pencemaran udara itu berlaku.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, lebih baik operasi sekolah agama ini direhatkan pada hari ini (semalam) sementara menunggu laporan siasatan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Tinjauan Utusan Malaysia di mendapati Sekolah Agama Kampung Melayu Pandan tidak beroperasi dan ibu bapa hadir untuk membawa pulang anak-anak mereka.
Terdahulu, sebuah tadika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Jalan Masjid, Kampung Melayu Pandan, di sini yang terletak bersebelahan dengan Sungai Pandan juga tidak beroperasi pagi semalam.
Pendidik Masyarakat Kemas, Siti Nor Azliza, 39, berkata, bau pencemaran yang sangat kuat itu meloyakan sehingga menyebabkan pening dan pedih mata.
“Sebaik tiba, saya dapati baunya amat kuat sehingga susah bernafas dan mata pedih. Kami berbincang dengan pengerusi tadika, penyelia dan pihak bomba memandangkan ketika itu sudah ada murid yang tiba. Akhirnya kami membuat keputusan untuk menutup tadika,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk di tiga kawasan perumahan di Tebrau bimbang dengan insiden tersebut.
Seorang daripadanya, Norhayuda Ahmad, 26, mendakwa menghidu bau tersebut yang kuat antara pukul 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Menurutnya, pencemaran bau yang berlaku kali pertama itu menimbulkan kebimbangan keluarganya sehingga terpaksa menghantar ibunya ke rumah kakaknya di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang.
Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) negeri ini mengesan suatu kandungan bahan kimia dalam Sungai Pandan di Kampung Melayu Pandan yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di kawasan tersebut.











