KUALA KRAI: Seorang bayi lelaki masih bertali pusat yang dipercayai dibuang ditemukan di Lorong Perisai Wira, di sini malam tadi.
Bayi tersebut ditemukan dalam keadaan berbungkus menggunakan kain batik.
Ketua Polis Daerah Kuala Krai Superintendan Mazlan Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan bayi itu daripada orang awam pada pukul 9.43 malam.
Menurutnya, anggota unit kereta peronda polis (MPV) terus digerakan ke lokasi dan pemeriksaan mendapati bayi tersebut dibungkus dengan kain batik dan masih bertali pusat.
“Bayi tersebut kemudian di bawa ke Hospital Sultan Ismail Petra di sini untuk rawatan lanjut.
“Pemeriksaan lanjut mendapati bayi yang ditemukan itu adalah lelaki, masih bertali pusat dan seberat 2.74 kilogram,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mazlan memberitahu, siasatan lanjut masih diteruskan dan polis kini gita mengesan ibu kepada bayi tersebut.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkait dengan kes berkenaan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Iman di talian 011-31460199 atau ke balai polis berhampiran,” ujarnya.-UTUSAN