Amaran keras Ukraine terhadap Iran

Amaran keras Ukraine terhadap Iran

GAMBAR edaran Kementerian Pertahanan Iran pada 17 Februari 2024 menunjukkan peluru berpandu Sayad-3 semasa melancarkan sistem pertahanan Arman di lokasi tidak didedahkan.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Hubungan bilateral Ukraine dan Iran bakal terjejas sekiranya laporan Teheran membekalkan peluru berpandu balistik kepada Russia adalah sahih.

Amaran itu dinyatakan Kementerian Luar Negeri Ukraine ketika memanggil diplomat kanan Iran bagi mendapatkan penjelasan mengenai dakwaan tersebut.

Kementerian Luar Negeri Ukraine menerusi Telegram berkata, pihaknya memanggil pegawai kanan Iran, Shahriar Amouzegar dan memberi amaran keras mengenai kesan terhadap hubungan dua hala negara, jika penghantaran peluru berpandu itu disahkan.

Minggu lalu, CNN dan Wall Street Journal melaporkan, Iran memindahkan peluru berpandu balistik jarak dekat kepada Russia, ketika Moscow terus berperang di Ukraine selepas operasi khas ketenteraan pada 2022.

Terdahulu, pegawai kanan Iran, Briged Fazlollah Nozari menafikan laporan berkenaan dan menyifatkan dakwaan tersebut sekadar ‘perang psikologi’.

“Tiada peluru berpandu dihantar ke Russia dan dakwaan ini adalah sejenis perang psikologi.

“Iran tidak menyokong mana-mana pihak dalam konflik Ukraine-Russia,” kata Nozari dalam kenyataan.

Bagaimanapun, jurucakap Hal Ehwal Luar Kesatuan Eropah (EU), Peter Stano menggambarkan maklumat tersebut adalah boleh dipercayai.

“Kami menyedari maklumat yang boleh dipercayai diberikan oleh sekutu mengenai penghantaran peluru berpandu balistik Iran kepada Russia.

“Jika disahkan, penghantaran ini akan mewakili peningkatan ketara dalam sokongan material Iran terhadap perang pencerobohan haram Russia di Ukraine,” katanya.

Bahkan, Barat dan Ukraine menolak penafian Iran sebelum ini, dan menegaskan terdapat bukti kukuh Teheran membekalkan senjata seperti dron Shahed kepada Russia.

PENINGKATAN KETARA

Sementara itu, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, pihaknya melihat laporan itu, namun menegaskan tidak semua dakwaan sedemikian adalah tepat.

“Iran adalah rakan penting, kami sedang membangunkan hubungan perdagangan dan ekonomi serta memperkukuh kerjasama dan dialog dalam semua bidang termasuk yang paling sensitif,” kata Peskov.

Minggu lalu, Ukraine mendakwa kerjasama ketenteraan antara Teheran dan Moscow adalah ancaman kepada Kyiv, Eropah serta Asia Barat.

Justeru, negara itu menggesa masyarakat antarabangsa untuk meningkatkan tekanan terhadap Iran dan Russia.

Amerika Syarikat (AS) pula menegaskan, sebarang pemindahan peluru berpandu balistik Iran ke Russia akan menandakan peningkatan ketegangan dalam perang Ukraine.

Kenyataan sama turut diulang Jurucakap Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), mengenai pakatan tentera Barat yang menyedari laporan media tetapi enggan mengulas kebenarannya.

“Seperti yang dinyatakan oleh sekutu sebelum ini, sebarang pemindahan peluru berpandu balistik dan teknologi berkaitan oleh Iran kepada Russia akan mencetuskan peningkatan ketara,” kata jurucakap itu.

Moscow menuduh sekutu Kyiv meningkatkan perang dengan membekalkan senjata digunakan dalam pencerobohan Ukraine ke wilayah Kursk di Russia dan mengancam untuk bertindak balas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN