WASHINGTON: Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS), Rashida Tlaib menggesa pentadbiran Presiden Joe Biden menghentikan bekalan senjata kepada Israel, berikutan ketegangan yang semakin meningkat di Lubnan.
Beliau dalam hantaran di X berkata, sebaiknya kerajaan berhenti menghantar senjata kepada Israel daripada memindahkan setiap rakyat AS di Lubnan.
Kenyataan itu dibuat susulan nasihat perjalanan oleh Jabatan Negara AS pada Sabtu, yang menggesa warganya supaya mengelak daripada melakukan perjalanan ke Lubnan.
Rakyat Amerika yang berada di negara itu dinasihatkan untuk keluar selagi pilihan komersial masih tersedia berikutan ketegangan yang semakin meningkat antara Israel dan Hezbollah di Lubnan.
Sebelum ini, Setiausaha Pertahanan AS, Lloyd Austin mengadakan perbincangan dengan Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, untuk menyuarakan kebimbangan terhadap keselamatan rakyat Amerika di rantau berkenaan.
Menurut Kementerian Kesihatan Lubnan, sekurang-kurangnya 492 orang terkorban dan lebih 1,000 lagi cedera dalam serangan udara besar-besaran Israel yang menyasarkan beberapa kawasan di Lubnan, semalam.
Ketegangan antara Hezbollah dan Israel memuncak selepas serangan udara maut pada Jumaat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 45 orang, termasuk kanak-kanak dan wanita, serta mencederakan ramai lagi di kawasan selatan Beirut.
Serangan tersebut berlaku beberapa hari selepas lebih 37 orang terkorban dan lebih 3,000 lagi cedera dalam dua siri letupan peranti komunikasi tanpa wayar di seluruh Lebanon.
Hezbollah dan Israel telah terlibat dalam pertempuran rentas sempadan sejak bermulanya perang Israel di Gaza, yang telah meragut lebih 41,400 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, selepas serangan rentas sempadan oleh Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.– AGENSI










