GAZA: Hampir 443,000 kanak-kanak menerima dos pertama vaksin polio di Genting Gaza, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Kesihatan Primer, Mousa Abed berkata, pihaknya masih menunggu kelulusan Israel untuk menyelaras akses ke tujuh kawasan tambahan di bandar Khan Younis dan Rafah di selatan Gaza.
“Mereka yang menerima dos pertama vaksin polio di Gaza adalah sekitar 443,000 kanak-kanak merangkumi 69 peratus di bawah umur 10 tahun,” katanya kepada Anadolu.
Mousa berkata, fasa pertama kempen vaksinasi di kawasan tengah Gaza mencapai hasil melebihi jangkaan dengan 195,000 kanak-kanak telah divaksin berbanding 160,000 kanak-kanak yang disasarkan.
Katanya, kempen di Gaza bertujuan memvaksin 300,000 kanak-kanak.
Di Rafah dan Khan Younis, beliau berkata, pasukan perubatan berjaya memvaksin 248,000 kanak-kanak dan usaha sedang dijalankan untuk menyelesaikan kempen itu.
Mousa dalam pada itu mendedahkan, pihaknya berdepan beberapa cabaran di kawasan timur yang diklasifikasikan oleh tentera Israel sebagai zon merah.
“Kami berjaya sampai ke beberapa kawasan berbahaya untuk memvaksin kanak-kanak di sana selepas berkoordinasi dengan pihak Israel.
“Tetapi, kami masih perlu mendapat kelulusan tentera Israel untuk memasuki kawasan seperti Khaza’a di timur Khan Younis,” ujarnya.
Mousa berkata, pihaknya mendapat kelulusan Israel untuk mengakses beberapa kawasan di Rafah dan timur Khan Younis, tetapi masa yang diberikan adalah sangat singkat untuk memvaksin semua kanak-kanak yang disasarkan.- AGENSI











