TEL AVIV: Kerajaan Israel menawarkan status kewarganegaraan tetap kepada sekitar 30,000 pencari suaka dari Afrika jika mereka bersetuju menyertai tentera untuk operasi di Gaza.
Menurut akhbar Harretz, Israel kini merekrut pencari suaka Afrika untuk berperang di Gaza sebagai pertukaran kepada status kerakyatan tetap negara itu.
Langkah tersebut menimbulkan kebimbangan kerana kebanyakan pencari suaka datang ke Israel untuk bekerja di sektor pertanian.
“Pegawai pertahanan menyedari mereka boleh memanfaatkan pencari suaka dan menggunakan keinginan mereka untuk mendapatkan status tetap di Israel sebagai insentif.
“Pihak pertahanan Israel menawarkan pencari suaka Afrika yang menyumbang kepada usaha perang di Gaza – dengan mempertaruhkan nyawa mereka – sebagai bantuan mendapatkan status tetap di Israel,” lapor Harretz.
Menurut laporan akhbar, pegawai Israel mendakwa prosedur ini dijalankan secara teratur dengan panduan penasihat undang-undang pertahanan.
“Setakat ini, tiada pencari suaka yang menyumbang kepada usaha perang diberikan status rasmi,” katanya.
Kira-kira 30,000 pencari suaka Afrika, kebanyakannya adalah lelaki muda, menetap di Israel dengan sekitar 3,500 warga Sudan menikmati status sementara, lapor Harretz.
Laporan itu berkata, tiga pencari suaka terbunuh semasa serangan 7 Oktober tahun lalu.
Selepas kejadian tersebut, ramai yang menawarkan diri untuk kerja di sektor pertanian dan pusat perintah awam, dengan beberapa mereka sanggup menyertai tentera Israel.
“Sumber tentera menyatakan pihak pertahanan memanfaatkan pencari suaka dalam pelbagai operasi, beberapa daripadanya dilaporkan di media.
“Sesetengah pihak menyuarakan bantahan terhadap amalan ini dan berpendapat ia tindakan mengeksploitasi mereka yang melarikan diri dari negara sendiri kerana perang,” kata akhbar.- ANADOLU











