KUANTAN: Kira-kira 50 peratus atau lebih 30,000 daripada 63,000 kontraktor G1 (Kelas F) di negara ini didakwa ‘bidan terjun’ atau ‘tangkap muat’ kerana tidak mempunyai kemahiran dalam bidang pembinaan.
Difahamkan, rata-rata kontraktor bidan terjun terbabit didakwa didalangi ‘kartel’ yang menaja pihak ketiga membuat lesen bagi memonopoli sesuatu projek kerajaan.
Ia sekali gus mewujudkan budaya ‘ali baba’ yang didakwa lebih 23 tahun berlaku dengan pihak ‘kartel’ menguasai projek-projek kerajaan dengan cara mengumpul lesen baharu bagi memonopoli projek-projek kecil.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F Malaysia (Perkobf Malaysia) Pahang, Norhamila Mohd. Datar mendakwa, situasi itu membimbangkan kerana ia menyumbang kepada hasil dan kualiti kerja yang rendah.
Dakwanya, kerja-kerja pembinaan diuruskan kontraktor ‘tangkap muat’ bukan kontraktor tulen yang mempunyai kelulusan dan kemahiran dalam bidang pembinaan.
“Lambakan kontraktor G1 lebih 63,000 ketika ini, majoriti dikuasai ‘kartel’ mewujudkan persaingan tidak sihat dan menjejaskan peluang kontraktor tulen yang betul-betul berkaliber untuk mendapatkan projek serta bertahan dalam bidang ini.
“Punca projek lambat siap, tiada kualiti dan tidak selamat serta terbengkalai adalah disebabkan golongan ini. Mereka tidak mampu menunjukkan prestasi yang baik dan boleh merisikokan keselamatan orang ramai terutama jika membabitkan projek baik pulih dan bina rumah,” dakwanya kepada Utusan Malaysia, semalam.
Ketika ini, terdapat lebih 256,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah tersebut, G1 paling ramai berjumlah 63,263 orang, G2 (23,022), G3 (16,258), G4 (3,998), G5 (4,702), G6 (1,204) dan 4,252 gred G7.
Mengulas lanjut, Norhamila berkata, kontraktor tulen akan memastikan hasil kerja terbaik, menggunakan bahan binaan berkualiti dan mematuhi semua piawaian keselamatan yang sudah ditetapkan.
“Kontraktor tulen juga akan berkomunikasi dengan baik sepanjang proses pembinaan dan menyelesaikan sebarang masalah yang timbul dengan cekap.
“Sebaliknya, kontraktor tidak berpengalaman ataupun tidak bertanggungjawab boleh menyebabkan kelewatan, kerja tidak berkualiti dan kos tambahan. Mereka mungkin menggunakan bahan binaan berkualiti rendah atau mengambil jalan pintas yang berbahaya,” dakwanya.
Beliau sehubungan itu memohon kerajaan membekukan serta-merta pemberian lesen baharu G1 atau kelas F bagi mengelak disalahgunakan kartel dan melahirkan ramai kontraktor ‘tangkap muat’.
“Kita mohon kerajaan supaya menghentikan pendaftaran kontraktor baharu kelas F kerana kebanyakan mereka yang memohon lesen ini adalah kartel, ada yang menaja mereka buat lesen untuk monopoli,” katanya.
Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Kelas F (PKKF) Pahang, Ahmad Faiz Zulkifly berkata, pihak berwajib perlu mempertimbangkan langkah-langkah kawalan dan pemantauan yang lebih ketat sebelum lesen G1 dikeluar dan disahkan.
Beliau berkata, sebelum ini, pemohon akan menjalani temuduga dan soalan-soalan berkisar tentang pelan dan bangunan.
“Daripada situ, panel penemuduga akan menilai tahap kompetensi setiap pemohon lesen kelas F dan hanya yang layak sahaja akan diluluskan.
“Namun kini, prosedur ini telah tidak lagi diguna pakai dalam proses pendaftaran lesen G1. Dunia dihujung jari kini tidak dinafikan memudahkan pengguna namun, terdapat kepincangan apabila ada sesetengah pihak yang mengambil kesempatan di atas kemudahan ini.
“Terdapat pihak tidak bertanggungjawab memanipulasi sistem dengan mendaftar permohonan lesen G1 tanpa kawalan dengan cara pemalsuan dokumen dan sebagainya. Hasilnya, wujud kartel yang memonopoli pasaran G1 dengan senario seorang individu boleh memiliki sehingga 50 lesen,” katanya. – UTUSAN










