KUALA LUMPUR : 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan meneruskan tuntutannya terhadap BSI Bank selepas Mahkamah Tinggi Singapura menolak permohonan bank itu untuk membatalkan kes tersebut.
1MDB dan anak syarikatnya, Brazen Sky, menuntut AS$394 juta (RM1.71 bilion) daripada Bank BSI atas kerugian yang dialami daripada skim-skim yang diatur melalui akaun di bank tersebut, yang telah dilikuidasi pada tahun 2017.
“Kami berpuas hati dengan tindakan mahkamah menolak permohonan Bank BSI.
“Kami komited untuk memastikan institusi dan individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dana 1MDB akan diambil tindakan,” kata jurucakap lembaga pengarah dana tersebut dalam satu kenyataan.
Mei lalu, 1MDB mendedahkan, Bank BSI gagal bertanggungjawab melaksanakan arahan Brazen Sky dalam pengendalian akaun.
Tuntutan undang-undang itu adalah sebahagian daripada usaha untuk mendapatkan kembali dana berbilion ringgit yang disalahgunakan.
Lebih AS$7.5 bilion (RM32.48 bilion) telah dicuri daripada 1MDB dan anak-anak syarikatnya, menurut kenyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura pada bulan Mei lalu.
Minggu lalu, Mahkamah Jenayah Persekutuan Switzerland memutuskan dua eksekutif sebuah syarikat penerokaan minyak bersalah kerana menggelapkan lebih AS$1.8 bilion (RM7.78 bilion) dari 1MDB.
Warganegara Swiss-Britain, Patrick Mahony dan warganegara Swiss-Saudi, Tarek Obaid juga diperintahkan untuk membayar semula lebih AS$1.75 bilion (RM7.5 bilion) kepada dana tersebut, yang terlibat dalam skandal kleptokrasi antarabangsa.- BLOOMBERG










