GAZA: Israel semakin giat memperluaskan operasi ketenteraan di Gaza sehingga meninggalkan hanya 9.5 peratus kawasan yang dianggap sebagai ‘zon selamat’ untuk orang awam di wilayah itu.
Pertahanan Awam Palestin dalam kenyataan berkata, perang Israel di Gaza mengubah hampir keseluruhan zon kemanusiaan dipenuhi timbunan runtuhan akibat serangan bom.
Permulaan pencerobohan darat di Gaza pada awal November 2023, tentera Israel mengusir ratusan ribu orang awam dari utara ke selatan Gaza, yang konon didakwa sebagai zon selamat.
Zon tersebut meliputi 230 kilometer persegi atau 63 peratus daripada keseluruhan kawasan Gaza, termasuk tanah pertanian, kemudahan komersial, ekonomi dan fasiliti, menurut kenyataan.
Bagaimanapun, saiz zon selamat ini mengecil secara mendadak susulan peningkatan berterusan serangan tentera di wilayah berkenaan.
Pada awal Disember 2023, pihak berkuasa berkata, pencerobohan Israel di Khan Younis, selatan Gaza menyebabkan kawasan kemanusiaan berkurangan kepada 140 kilometer persegi, menyumbang 38.3 peratus daripada keseluruhan Gaza.
Pengurangan itu berlanjutan pada Mei lepas, ketika pencerobohan di Rafah, apabila zon kemanusiaan menyusut kepada 79 kilometer persegi atau 20 peratus daripada keseluruhan kawasan Gaza.
Menjelang pertengahan Jun 2024, zon terus berkurang kepada 60 kilometer persegi, menyumbang 16.4 peratus daripada keseluruhan kawasan Gaza.
Israel mengurangkan lagi kawasan yang dianggap selamat pada pertengahan Julai lepas, kepada 13.15 peratus.
Setakat bulan ini, zon kemanusiaan itu hanya berbaki 35 kilometer persegi atau 9.5 peratus daripada keseluruhan kawasan wilayah.
Zon ini hanya merangkumi kira-kira 3.5 peratus kawasan pertanian, perkhidmatan dan komersial, sekali gus mengecilkan lagi ruang perlindungan untuk ratusan ribu orang awam yang dipaksa berpindah.- ANADOLU










