KUALA LUMPUR: Usaha menyelamatkan warga India yang terperangkap di dalam lubang kira-kira lapan meter akibat tanah mendap di Masjid India, di sini masih diteruskan.
Operasi menyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Titiwangsa bersama BBP Hang Tuah menggunakan jentera FRT-2 dan RIM-2 dengan kekuatan 15 orang dimulakan sejak 8.22 pagi.
“Setibanya pasukan Bomba di lokasi kejadian, terdapat seorang mangsa wanita dewasa warganegara India berumur 48 tahun terjerlus ke dalam lubang dan tertimbus di bawah tanah.
“Kedalaman lubang dianggarkan 8 meter. Tindakan operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan,” kata kenyataan bomba.
Unit STORM dan Unit Pengesan (K9) turut berada di lokasi kejadian. Maklumat selanjutnya akan dikemaskini dari semasa ke semasa.- UTUSAN










