KUALA LUMPUR: Penduduk Flat PKNS Taman Keramat Permai di sini, tidak dapat tidur lena memikirkan kejadian terbaharu mendapan tanah di kawasan perumahan itu yang semakin serius.
Longkang berlubang dikenal pasti sebagai punca berlaku hakisan yang seterusnya menyebabkan mendapan berdekatan salah sebuah rumah di perumahan itu.
Rata-rata penduduk yang ditemui mendakwa, mendapan terbaharu berlaku sedalam dua meter di longkang bersebelahan dengan rumah penduduk.
Seorang penduduk, Rokiah Jais, 65, berkata, mendapan yang berlaku lima bulan lepas kelihatan semakin teruk.
“Hakisan tanah yang berlaku di bahagian longkang pada mulanya kecil sahaja tetapi semakin hari semakin teruk. Semasa hujan lebat, saya sangat takut dan tidak tidur lena kerana lubang itu terletak betul-betul di tepi rumah saya yang terletak di tingkat bawah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Setiausaha Badan Pengurusan Bersama (JMB) Blok J dan K, Samsiah Zidin berkata,JMB telah membuat susulan berkaitan tanah mendap kepada pihak bertanggungjawab.
“Jabatan Air Selangor telah membuat tinjauan semalam dan mendapati mendapan tanah tersebut berpunca dari air hujan yang berlarutan.
“Mereka turut mengesahkan bahawa tiada saluran air di bawah dan tanah itu kering,” katanya.
Sementara itu, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menerusi kenyataan semalam memaklumkan, kejadian longkang berlubang menjadi punca berlaku hakisan yang seterusnya menyebabkan mendapan di salah sebuah rumah di Blok D, Flat PKNS Taman Keramat Permai.
Penemuan itu diperoleh selepas lawatan teknikal oleh Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Bangunan dan Seni Bina serta Bahagian Pesuruhjaya Bangunan (COB) MPAJ ke lokasi kejadian.
MPAJ pada lawatan itu juga mengenal pasti beberapa kerosakan lain dan akan melakukan kerja pembaikan di kawasan terlibat untuk keselamatan penduduk. – UTUSAN










