BAGAN DATUK: Sebuah tugu berbentuk keris Taming Sari menjadi tarikan baharu Bagan Datuk Waterfront di sini.
Orang Besar Jajahan (OBJ) Bagan Datuk, Datuk Dr. Khalid Ismail berkata, tugu keris itu dijangka dibuka untuk pengunjung hujung bulan ini.
Katanya, walaupun keris Taming Sari dari segi sejarahnya digunakan Hang Tuah ketka kesultanan Melaka, namun senjata itu juga mempunyai kaitan dengan sejarah kesultanan Perak.
“Mungkin ada yang bertanya, kenapa tidak simbol lain yang melambangkan identiti Bagan Datuk seperti buah kelapa? Kenapa keris Taming Sari?
“Sebenarnya keris Taming Sari mempunyai kaitan sejarah dengan Bagan Datuk. Ketika Sultan Perak menjejak kaki ke negeri ini kira-kira 500 tahun lalu, almarhum baginda masuk ke negeri ini melalui Bagan Datuk atau lebih tepat melalui Sungai Perak di Beting Beras Basah di sini.
“Baginda berangkat ke negeri ini dengan membawa keris Taming Sari sebagai sebahagian daripada alat kebesaran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Khalid berkata, tugu itu menggambarkan tangan kanan yang menggenggam keris pada hulunya, dihiasi batu nilam yang melambangkan kemewahan dan kekuatan.
Katanya, bilah keris pula menghala ke langit yang melambangkan keesaan Tuhan.
Kedudukan keris atau cara menggenggam keris merujuk kepada adat mencium keris dalam istiadat istana melambangkan nilai sanjungan, kedaulatan, dan menjunjung adat.










