SEREMBAN: Polis mengesahkan tiada kejadian cubaan culik dengan menawarkan wang RM100 seperti yang tular dalam sebuah video di media sosial Tik Tok di sebuah taman perumahan di Labu, Nilai di sini.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitenden Abdul Malik Hasim berkata, siasatan telah dijalankan dan mendapati kejadian tidak berlaku seperti mana yang tular.
“Pada pukul 9.20 malam semalam telah terkesan satu video dimuat naik di media sosial yang memaparkan terdapat kejadian cubaan culik dengan menawarkan wang sejumlah RM100 berlaku di taman perumahan yang terletak di Labu.
“Tiada sebarang laporan polis diterima berhubung kejadian itu setakat ini dan tiada laporan kehilangan kanak-kanak dilaporkan di kawasan Labu bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Abdul Malik berkata, satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk siasatan terhadap pemilik akaun yang memuat naik video tersebut di laman sosial yang boleh memecahkan keamanan awam.
Tambah beliau, pihak polis menasihatkan masyarakat supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan tidak benar di laman sosial terutamanya yang boleh menyebabkan kegusaran atau mengganggu ketenteraman awam.
Sementara itu, cubaan Utusan Malaysia membuka video yang memaparkan dakwaan berkenaan gagal susulan akaun TikTok tersebut telah berada dalam mod private.-UTUSAN








