GUA MUSANG: Calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani atau Awie yang menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN)Nenggiri terus turun padang menyantuni penduduk di kawasan Sungai Asap A dengan bersarapan bersama mereka, semalam.
Awie yang turun seawal pukul 7 pagi berbuat demikian sebagai tanda terima kasih kepada pegundi Nenggiri yang telah memberikan sokongan padu sehingga menang pada PRK itu.
“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada semua yang mengundi dan memberi kemenangan kepada saya.
“Saya percaya mereka yang mengundi ini, menyokong serta yakin dengan gerak kerja saya di kawasan ini sebelum menjadi calon PRK lagi,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Awie memberitahu, dia dan keluarganya masih lagi terkejut dengan kemenangan besar diperolehnya.
Katanya, kemenangan itu adalah tanggungjawab besar yang harus dipikul bagi menjaga kebajikan rakyat.
“Saya turun ke gelanggang PRK dengan kekalahan 810 undi tetapi semalam memang cukup mengejutkan apabila menang dengan majoriti besar.
“Saya berterima kasih kepada anak muda yang memberi sokongan kepada saya dan ini adalah di luar jangkaan saya,” ujarnya.
Awie berkata, selain Sungai Asap A, dia berkunjung ke Sungai Asap B dan beberapa lagi kawasan bagi bertemu penduduk.
Menurutnya, dia akan meneruskan rutin masuk kedai kopi untuk bertemu rakyat.
Pada PRK Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri menang dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd. Rizwadi Ismail.
Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi manakala Mohd. Rizwadi 5,739 undi. – UTUSAN










