KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan untuk menyelaras semula kenaikan gaji seramai 14,457 penjawat awam di negeri itu tidak lama lagi.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalal berkata, kadar baharu kenaikan gaji itu juga akan mengikut Pekeliling yang akan dikeluarkan kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, Terengganu sebelum ini tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam.
“Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hingga sekarang.
“Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama, jadi kena tengok Pekeliling dahulu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, hari ini.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional.
Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa Satu dan 1 Januari 2026 untuk Fasa Dua.
Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, kenaikan gaji penjawat awam perlu dipandang dari sudut yang positif kerana pelarasan kali terakhir yang dilakukan ialah lebih 10 tahun lalu.
“Mengambil kira situasi ekonomi semasa, kenaikan gaji penjawat awam adalah wajar dilaksanakan dan serentak itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat pelbagai lapisan,” katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri sudah bersedia dengan implikasi kewangan susulan pelarasan gaji penjawat awam tersebut, Tengku Farok berkata, pihaknya optimis Terengganu akan berusaha mencari sumber kewangan untuk menampung kenaikan tersebut. – UTUSAN










