JOHOR BAHRU: Suspek kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun Iskandar Puteri, dekat sini akan dituduh dengan 15 pertuduhan di Mahkamah Johor Bahru dan Mahkamah Kulai, esok.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, pihaknya telah melengkapkan kertas siasatan dan diserah kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor.
“Suspek berdepan tujuh pertuduhan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah dan masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik dan Seksyen 346 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.
“Selain itu, suspek juga akan dituduh dengan empat pertuduhan di bawah Seksyen 8(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta masing-masing satu pertuduhan di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana memiliki bahan penganiayaan seksual kanak-kanak dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya dalam satu kenyataan, di sini malam ini.
Kumar menasihatkan orang ramai, khususnya ibu bapa supaya sentiasa memantau aktiviti dan perkembangan emosi anak-anak mereka supaya jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan dan dicegah awal.
Pada 4 Ogos lalu, suspek berusia 31 tahun itu ditahan semula bagi membantu siasatan kes penculikan Albertine Leo Jia Hui susulan penemuan pelbagai mainan seks termasuk bahan pornografi melibatkan kanak-kanak.
Suspek ditahan pada 23 Julai lalu dalam serbuan polis yang turut menyelamatkan kanak-kanak itu yang dikurung di sebuah hotel bajet di Batang Kali, Selangor selepas tiga hari diculik. – UTUSAN










