PEKAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyifatkan kejadian kemalangan yang mengakibatkan sebuah rumah musnah setelah dirempuh lori dan mengorbankan dua beradik di Kilometer 5 Jalan Pekan/Nenasi/Rompin, Kampung Ketapang Hilir di sini, Sabtu lalu sebagai dahsyat.
Kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi itu menyebabkan penghuni rumah, Mohd. Waldon Faris Nasruddin, 21, dan kakaknya, Nurnazatul Fasiha, 32, meninggal dunia akibat kecederaan parah dialami.
Abang sulung mangsa, Mohd. Fakhrul Hafis, 35, berkata, keluarganya menjunjung kasih terhadap Sultan Pahang kerana berkenan mencemar duli melawat dan menyantuni keluarganya yang terlihat dalam tragedi menyayat hati tersebut.
“Selain menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang berlaku, tuanku turut menyifatkan kemalangan mengorbankan dua adik saya tersebut sebagai dahsyat.
“Tuanku juga meminta mengambil tindakan undang-undang (saman) syarikat lori terbabit demi keadilan kepada keluarga kami.
“Ketika meninjau rumah yang roboh dirempuh lori, tuanku sempat berbisik kepada saya ‘insya-Allah akan ganti dan bina rumah baharu’,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Ketapang Hilir di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Fakhrul Hafis berkata, dia berharap pihak berwajib segera memasang pembahagi jalan yang lebih tinggi di situ bagi mengelak kejadian sedemikian berulang kembali.
“Ia pertama kali berlaku kerana lori terbabit terbabas daripada laluan bertentangan. Langkah keselamatan perlu segera dilakukan pihak berwajib di laluan ini,” katanya.
Sementara itu, ibu mangsa, Norrulaini Mohd. Hassan, 54, berkata, dia tetap akan membina kediaman baharu di tapak rumah roboh itu kerana ia tanah pusaka keluarganya.
“Junjung kasih terhadap Sultan Pahang kerana menyantuni keluarga saya termasuk turut menyatakan akan membantu membina semula rumah yang musnah keseluruhannya akibat kejadian malang itu,” katanya.
Beliau dalam pada itu mengakui masih trauma dengan kejadian tersebut, bagaimanapun bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana selamat dan tidak cedera.
“Tuhan sahaja yang tahu. Rasa kehilangan dua anak sekali gus. Tak boleh nak bayangkan. Saya rasa macam trauma. Tak boleh terima benda ni. Jadi macam terduduk betul lah,” katanya sambil menahan air mata.
Menurutnya, suaminya, Nasruddin Othman, 60, patah tulang rusuk dan sehingga kini masih belum menerima hakikat dua anaknya terkorban dalam kejadian tersebut. – UTUSAN










