Stesen minyak kaut untung RM30,000 seludup diesel

Stesen minyak kaut untung RM30,000 seludup diesel

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Pengusaha stesen minyak mampu memperoleh lebih RM30,000 sebulan hasil daripada kegiatan menyeleweng diesel bersubsidi di pasaran gelap termasuk ke negara jiran.

Mereka memperoleh keuntungan lebih 50 sen seliter berbanding hanya 10 sen seliter jika dijual di pam minyak.

Sehubungan itu, kerajaan diminta memantau stesen-stesen minyak yang menjalankan kegiatan menyeleweng mi­nyak diesel bersubsidi sekali gus mengaut keuntungan lumayan setiap bulan.

Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) mendakwa, terdapat stesen-stesen minyak bersubahat dengan sindiket kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi menerusi lori tangki yang digunakan bagi menghantar 35,000 liter bahan api terbabit.

Presidennya, Datuk Dr. Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, menerusi cara ini, berlaku pakatan membabitkan pengusaha pam apabila hanya 5,000 liter diesel bersubsidi diturunkan di stesen minyak dan 30,000 liter lagi dipindahkan ke lokasi lain dipercayai diseleweng.

“Selain itu, terdapat juga situasi di mana satu lori tangki antara 35,000 liter ke 40,000 liter minyak diesel bersubsidi sudah ditempah oleh stesen minyak tetapi tidak sampai pun ke pam minyak. Sebaliknya pengusaha stesen minyak membuat pengesahan sudah pun menerima diesel terbabit.

“Ia diseleweng keseluruhannya dengan dijual di pasaran gelap yang lebih lumayan keuntungan sehingga lebih 50 sen seliter berbanding 10 sen di pam minyak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Kelmarin, Mingguan Malaysia melaporkan YPNM men­dakwa lebih enam juta liter bahan api diesel diseludup ke negara jiran, Singapura sebulan.

Yayasan terbabit dilaporkan mendakwa per­buatan tersebut terbongkar ha­sil pemantauan Biro Pemantau YPNM di Johor dan Singa­pura.

Minyak diesel terbabit, dakwa YPNM yang di­percayai dibawa masuk dari Johor dihantar ke Singapura menggunakan lori tangki de­ngan surat permit eksport yang disalahgunakan sindiket.

Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus berkata, terdapat juga stesen minyak membenarkan sehingga 3,000 liter diesel bersubsidi diisi dalam masa sejam oleh sindiket.

Menurutnya, penyelewe­ngan dilakukan dengan modus operandi menggunakan lori yang diubah suai tangki asalnya lalu membuat pembelian secara berulang di stesen-stesen minyak.

“Kegiatan ini perlu dipantau setiap minggu di stesen-stesen minyak seluruh negara. Pihak berkuasa perlu menyemak rekod transaksi pembelian diesel yang dibuat kepada seorang pembeli dalam masa satu jam.

“Jika angkanya besar dan meragukan, memang ada sesuatu yang mencurigakan berlaku dan pihak berkuasa perlu segera melakukan siasatan. Dengan harga diesel melebihi RM3 seliter pada ketika ini pun sindiket tetap membeli di stesen-stesen minyak negara untuk diseludup ke luar negara,” dakwanya.

Menurutnya, pemantauan dan risikan perlu sentiasa dilakukan pihak berkuasa bagi membanteras penyelewengan barangan kawalan bersubsidi termasuk ke Thailand dan Singapura.

“YPNM juga mencadangkan kerajaan memantau salah guna permit eksport oleh pemborong dan pengeksport.

“Selain itu, kerajaan juga perlu merombak penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana terlalu banyak berlaku salah guna kuasa,” dakwanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×